Anak tempatan terima anugerah di Jepun

Anak tempatan terima anugerah di Jepun

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Awangku Muhammed Isa Daniel Muqri bin Pengiran Khamarul Zaman dari Sekolah Seri Mulia Sarjana, hari ini, berlepas ke Yokohama, Jepun, bagi menghadiri majlis penyampaian hadiah setelah menjadi pemenang Mitsubishi Asian Children’s Enikki Festa Tahun 2015/2016.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada Awangku Muhammed Isa Daniel Muqri, 10, ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan bersama warga Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

Semasa ditemui Media Permata, Awangku Muhammed Isa Daniel Muqri memberitahu dia telah menghantar lima lukisan tahun lalu mengikut tema pertandingan iaitu ‘Inilah Kehidupan Ku’.

Lukisan-lukisan yang dihantarnya terdiri daripada bermain gasing, tarian singa, bermain kikik, Kampong Ayer berlatarbelakangkan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan makan ambuyat.

“Setiap lukisan dan karangannya sekali saya siapkan dalam dua hari pada setiap malam sebelum tidur dan ayah saya memberikan bantuan untuk mencari idea dan selepas itu akan memberikan saya kebebasan untuk melukis mengikut kreativiti sendiri,” jelasnya.

Awangku Muhammed Isa Daniel Muqri (enam kiri) bergambar ramai bersama Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan warga Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta ahli keluarganya sebelum berlepas.
Awangku Muhammed Isa Daniel Muqri (enam kiri) bergambar ramai bersama Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan warga Jabatan Pendidikan Kokurikulum serta ahli keluarganya sebelum berlepas.

Katanya lagi, dia benar-benar tidak menyangka untuk memenangi pertandingan ini apatah lagi ini kali kedua dia menyertai pertandingan yang diadakan dua tahun sekali dan daripada lebih 700 penyertaan dia terpilih menjadi lapan teratas sehinggalah menjadi pemenang sulung dari negara ini.

“Saya menangis terharu setelah diumumkan sebagai pemenang kerana benar-benar tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini dan saya berharap akan terus berjaya di masa-masa akan datang,” katanya.

Dia seterusnya melahirkan penghargaan kepada siapa sahaja yang menyokong dia dalam semua pertandingan yang tahun ini telah memenangi tiga pertandingan lukisan di tempat pertama.

“Doakan saya selamat dalam perjalanan pergi dan pulang dan pada teman-teman yang tidak berjaya, jangan berputus asa dan terus mencuba di tahun-tahun akan datang,” tambahnya.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Mitsubishi (Mitsubishi PAC)/Kelab-kelab dan Persatuan UNESCO Persekutuan Asia Pasifik (AFUCA)/ Persatuan UNESCO Persekutuan Kebangsaan di Jepun (NFUAJ) melalui Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Sebanyak 24 buah negara menyertai Festa 2015/2016 yang terdiri dari Bangladesh, Bhutan, Negara Brunei Darussalam, Kemboja, China, India, Indonesia, Kazakhstan, Korea, Laos, Malaysia, Maldives, Mongolia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, China-Taipei, Thailand, Timor-Leste, Vietnam dan Jepun.

Jawatankuasa saringan antarabangsa menentukan penerima anugerah Grand Prix, anugerah Mitsubishi PAC, anugerah AFUCA dan anugerah NFUAJ.

Acara ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak di seluruh dunia untuk memahami kehidupan seharian rakyat Asia melalui diari bergambar.

ARTIKEL YANG SAMA