Anak warga emas yang hilang, rindu sediakan juadah berbuka untuk ibu

Anak warga emas yang hilang, rindu sediakan juadah berbuka untuk ibu

MARANG, 9 Jun – Anggota keluarga seorang warga emas yang hilang di Kampung Bukit Parit sejak Isnin lalu masih berharap ibunya dapat dijumpai dengan segera apabila mengenangkan keadaan kesihatan warga emas itu yang semakin uzur.

Maimunah Bakar, 46, juga terkenangkan ibunya, Fatimah Ismail, 71, yang sering meminta memasakkan juadah kegemarannya iaitu lauk sayur masak lemak dan gulai ikan untuk berbuka puasa dan sahur.

“Setiap kali berbuka saya sering teringatkannya, apa yang dia makan, minum, tidur di dalam kawasan itu dengan keadaan hujan,” katanya hiba ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Fatimah dikatakan keluar ke kawasan hutan berdekatan Isnin lalu dengan memakai kain batik dan baju lengan panjang tanpa memakai selipar.

Kehilangannya disedari anggota keluarga selepas beliau tidak pulang ke rumah malam itu.

“Saya harap emak dapat dijumpai dalam waktu terdekat dalam keadaan masih bernyawa atau sebaliknya… hari itu saya memang nampak dia menuju ke kawasan hutan berkenaan,” katanya.

Maimunah juga yakin emak-nya yang menghadapi masalah nyanyuk dan rabun itu masih berada di dalam kawasan hutan terbabit namun tidak menemui jalan keluar.

Katanya selain usaha mencari di kawasan terbabit, mereka juga turut mengadakan solat hajat dan berikhtiar menggunakan cara tradisional.

“Apa jua yang menimpanya kami reda…agak mustahil dalam tempoh empat hari tanpa makanan dan minuman dia masih mampu bertahan. Apa pun kami harap dia dapat ditemui,” katanya.

Katanya, operasi mencari ibunya masih diteruskan oleh pihak polis dengan bantuan orang kampung dan anjing pengesan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA