Anak yatim cemerlang diraikan

Anak yatim cemerlang diraikan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Seramai 15 anak yatim yang berdaftar dengan Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2014, telah dipilih untuk menerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA bagi tahun ini (AIPC-DANA 2015).

Majlis penyampaian anugerah berkenaan telah berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara, hari ini, dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Haji Ibrahim bin Haji Ismail semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis itu, berkata sejak ditubuhkan kira-kira 17 tahun yang lalu, sokongan masyarakat di negara ini kepada DANA adalah sangat-sangat membanggakan.

Menurut beliau, dengan adanya sumbangan yang amat menggalakkan ini, pihak sekretariat DANA dapat mengungkayahkan beberapa skim projek khusus untuk membantu kesejahteraan anak-anak yatim yang berdaftar.

“Bilangan anak yatim yang berdaftar dengan DANA sehingga penghujung bulan Mei 2015 ialah seramai 3,968 orang iaitu peningkatan sebanyak 83 peratus berbanding 2,168 orang pada tahun 2010.”

Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada Dayang Vanessa.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada Dayang Vanessa.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada Ampuan Amiira Farahiyah.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada Ampuan Amiira Farahiyah.

Beliau seterusnya berkata, penglibatan masyarakat dalam memeduli kebajikan anak-anak yatim jelas kelihatan khususnya dalam bulan Ramadan yang Mubarak ini di mana jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan orang perseorangan menghulurkan derma mereka langsung kepada anak-anak yatim dan tidak ketinggalan juga mereka yang mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Anak-anak yatim yang menerima anugerah di majlis itu adalah mereka yang mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Cambridge GCE O Level, Sijil Pelajaran Ugama Brunei, Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah 6 dan Penilaian Sekolah Rendah, yang mana masing-masing menerima satu unit komputer riba berserta mesin pencetak, sejumlah wang tunai bagi pakej kemudahan belajar serta sijil penghargaan.

Di majlis itu, Dayang Noor Suziyani binti Abdullah yang mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Ugama Brunei, Dayang Chua Yee Ling, Dayang Nur Qistina Masturina, Awang Muhamad Asna Syahruni dan Dayang Vanessa Deba yang cemerlang Brunei Cambridge GCE O Level, masing-masing menerima sijil penghargaan, satu komputer riba berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama dua tahun dalam bentuk wang tunai sebanyak $760.

Manakala itu, Dayang Nurhanisah Batrisyia, Dayang Nur Azmina, Dayang Nurul Aimi Syahirah, Ampuan Amiira Farahiyah, Awang Aziz Rifaee dan Dayang Normadiah masing-masing menerima sijil penghargaan bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, satu unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga pakej kemudahan belajar selama dua tahun dalam bentuk wang tunai berjumlah $400.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama anak-anak yatim cemerlang yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama anak-anak yatim cemerlang yang diraikan.

Sementara itu, bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah 6, Dayang Nilan Sari, Dayang Aminah, Dayangku Nur’ul Faizatul Rashidah, dan Awangku Mohamad Nur Amirul Hisam masing-masing menerima sijil penghargaan, satu unit komputer berserta mesin pencetak, dan juga wang simpanan sebanyak $500 yang dikreditkan terus ke akaun DANA masing-masing di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei.

Menurut kenyataan Yayasan, penyampaian anugerah ini merupakan yang ke-8 diadakan dengan tujuan utamanya sebagai pendorong kepada anak-anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dan sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pelajaran.

Salah seorang penerima, Awangku Mohamad Nur Amirul Hisham, dari Sekolah Menengah Saiyidina Umar Al-Khattab, ketika ditemui meluahkan perasaan bersyukur kerana dipilih untuk menerima sumbangan pada tahun ini.

Beliau yang merupakan anak kedua bongsu daripada enam orang adik beradik menyatakan bahawa dengan adanya sumbangan itu, diharap akan dapat meningkatkan lagi pembelajaran untuk menuju kecemerlangan dan kejayaan.

Seorang lagi penerima, Dayang Vanessa Deba pula menyatakan perasaan amat terkejut apabila terpilih untuk menerima sumbangan buat kali pertama, dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang dan Yayasan.

ARTIKEL YANG SAMA