Anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin tidak diabaikan

Anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin tidak diabaikan

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 5 Julai – Dengan hasrat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan untuk meringankan bebanan mereka, buat julung kalinya, Kumpulan Syarikat YMRM mengadakan Majlis Penyampaian Derma bagi anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan fakir miskin bagi 2015, Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kampung Menengah, Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian derma kepada para penerima ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Keriam, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abdul Rauf.

Turut hadir sama ialah Pengurus Besar YMRM Enterprise, Galleria YMRM dan YMRM Development, Ramesh Jewatram Bhawnani, para jemputan khas serta para penerima yang diraikan.

Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Galleria YMRM, Awang Abdul Hamid Abas berkata bahawa majlis berkenaan melibatkan penyampaian derma dan bantuan kepada seramai 295 anak-anak yatim dan 28 fakir miskin dari 15 buah kampung dalam mukim Keriam, Kiudang dan Lamunin.

Majlis itu, jelasnya dihasratkan sebagai usaha untuk sama-sama memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan serta juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan YMRM khususnya dan masyarakat umum di negara ini di atas sokongan kepada syarikat berkenaan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mohd Taha ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mohd Taha ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mohd Taha menyampaikan derma kepada para penerima.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mohd Taha menyampaikan derma kepada para penerima.
Mereka yang menghadiri majlis berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kampung Menengah, Tutong, kelmarin.
Mereka yang menghadiri majlis berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kampung Menengah, Tutong, kelmarin.

Majlis sumbangan itu mula dilaksanakan pada 2011 oleh Galleria YMRM di Daerah Brunei dan Muara dan bermula pada 2015, buat pertama kalinya ia diadakan di tiga buah daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Temburong.

Majlis tersebut merupakan kegiatan amal tahunan Galleria YMRM buat tahun kelima berturut-turut serta juga sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Galleria YMRM, YMRM Enterprise dan YMRM Development dengan kerjasama Sukarelawan Warisan Kedayan Jerudong di mana bantuan-bantuan yang dihulurkan adalah termasuk wang tunai, kain untuk wanita dan lelaki, beras, gula, minyak masak, mi segera dan minuman.

ARTIKEL YANG SAMA