Anak yatim Mukim Gadong A terima sumbangan

Anak yatim Mukim Gadong A terima sumbangan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seramai 34 orang anak yatim dari Mukim Gadong A menerima sumbangan derma daripada warga Jabatan Penerangan, Syarikat Galleria YMRM dan ahli keluarga serta orang-orang persendirian di Majlis Program Ramadan Penerangan 2015: Sumbangan Derma Anak-Anak Yatim Amalan Mulia, hari ini.

Penyampaian sumbangan di majlis yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu, telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, Penghulu Mukim Gadong A, pegawai dan kakitangan di jabatan berkenaan. Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Al-Quran oleh salah seorang anak yatim, Awang Muhd Khairul Ikhwan bin Haji Roslee.

Majlis turut diserikan lagi dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid UBD, Haji Jufri bin Haji Hidup, yang antara lain menyentuh mengenai kelebihan bulan puasa, yang mana amalan ibadah yang dilakukan dalam bulan mulia ini dilipat gandakan dan cara-cara untuk memuliakan anak-anak yatim.

Haji Mohd Rozan semasa menghadiri Majlis Program Ramadan Penerangan 2015: Sumbangan Derma Anak-anak Yatim Amalan Mulia, di Masjid UBD.
Haji Mohd Rozan semasa menghadiri Majlis Program Ramadan Penerangan 2015: Sumbangan Derma Anak-anak Yatim Amalan Mulia, di Masjid UBD.

Program Ramadan Penerangan itu diselajurkan dengan majlis tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Haji Mohd Zahid bin Zain.

Program anjuran Unit Hubungan Masyarakat Ahli, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan Kerjasama Ahli Majlis Perundingan Kampung Kawasan 2, Rancangan Perumahan Negara Rimba ini bertujuan bagi memberi peluang kepada warga Jabatan Penerangan membuat amal kebajikan kepada masyarakat di samping berintegrasi dengan mereka semasa bulan Ramadan.

Ia diharapkan agar warga kampung masih dapat merasai keindahan Islam dan menyemaikan semangat ukhuwah, kasih sayang, pemedulian dan perpaduan dalam kalangan semua anggota masyarakat dan pihak kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA