Analisis data penting

Analisis data penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Dalam mencapai kecemerlangan operasi, penganalisisan data dalam operasi perniagaan menggunakan teknologi data visual amat penting.

Jururunding Teknikal TPG di BAG Networks, Dr. Melvin Lim Wei Ming berkata demikian ketika menyampaikan taklimat bertajuk, ‘Kecemerlangan Operasi Melalui Penganalisisan Data’ semasa Persidangan Computational Intelligence in Information Systems (CIIS) 2016 yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

“Setiap syarikat pastinya berusaha sedaya upaya untuk mencapai kecemerlangan operasi. Berjaya atau tidak, itu bergantung kepada kaedah bagaimana kita menangani cabaran alam perniagaan, terutama cara kita menganalisis data sedia ada. Pendek kata, keputusan perniagaan mesti diambil berasaskan maklumat yang jitu,” kata Dr. Melvin.

Taklimat anjuran UTB itu telah dihadiri oleh para pengguna sistem maklumat daripada sektor awam dan swasta serta penyelidik dan para mahasiswa university.

Dr. Lim menyampaikan taklimatnya semasa persidangan berkenaan.
Dr. Lim menyampaikan taklimatnya semasa persidangan berkenaan.

Dr. Lim dalam taklimat itu juga berkongsi pengalaman BAG Networks menggunakan aplikasi data visual dalam analisis data operasi harian yang membawa kepada transformasi cara kerja yang rumit menjadi proses-proses yang lebih fleksibel dan cepat serta secara langsung membolehkan BAG Networks memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih berkesan.

Taklimat berkenaan merupakan kegiatan terbaru dalam siri berkongsi ilmu yang dilaksanakan oleh Unit Kajian BAG Networks (Technology Practice Group), di mana unit itu sering mengongsi kepakaran teknikal dalam teknologi terkini kepada pihak-pihak yang berminat dari sektor kerajaan, perniagaan dan institusi-institusi pendidikan, menjadikan BAG Networks sebagai rakan kerjasama yang tepat dalam bidang teknologi.

BAG Networks sedang giat mempromosikan Tableau, peneraju pasaran dalam perisian visual data yang terkemuka di dunia. Selaku rakan kongsi tempatan Tableau, BAG Networks juga mengumumkan perisian visual data Tableau adalah percuma untuk digunakan dalam bidang pendidikan oleh para pelajar dan pensyarah.

Bagi institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang berminat, mereka bolehlah menghubungi Pengiran Haji Amar Rizamir bin Pengiran Haji Osman di BAG Networks.