Analisis impak pasaran minyak berdasarkan pemantauan harga dalam sebulan

Analisis impak pasaran minyak berdasarkan pemantauan harga dalam sebulan

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) – Analisis impak pasaran minyak dunia terhadap ekonomi negara dibuat berdasarkan pemantauan pergerakan harga minyak dalam tempoh sebulan atau dua bulan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Susulan kenaikan harga minyak yang mencecah AS$40 setong buat pertama kali tahun ini, hari ini, beliau berkata impak kepada ekonomi negara sukar diukur hanya dengan memantau pergerakan harga minyak dalam ‘sehari dua’.

“Pasaran minyak ini tidak menentu, kita tidak boleh buat ukuran untuk sehari atau dua hari, kita harus pantau sebulan atau dua bulan barulah kita boleh buat analisis mengenai impaknya kepada ekonomi.

“Perlu pantau (sentiasa), tengok sehari naik esok mungkin turun kerana Iran juga dijangka akan memulakan pengeluaran minyaknya,” katanya kepada media selepas majlis pra pelancaran program Coding di Sekolah (Coding@School) di sini, hari ini.

Mohd Irwan Serigar berkata kerajaan sentiasa memantau pergerakan harga minyak dunia bagi menganalisis kesan kenaikan atau kejatuhan harga bahan api itu kepada ekonomi negara.

Sementara itu, mengenai Coding@School, beliau berkata ia merupakan satu daripada inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2016 dalam usaha menggalakkan inovasi dan keusahawanan dalam kalangan rakyat.

“Program ini akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di 100 buah sekolah rendah seluruh Malaysia sepanjang tahun ini yang juga membantu meningkatkan kreativiti pelajar dalam membangunkan pelbagai bentuk perisian aplikasi,” katanya.