Analisis TPPA siap hujung Julai

Analisis TPPA siap hujung Julai

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) – Kajian analisis kos dan manfaat membabitkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka siap hujung Julai ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata analisis kajian oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan PriceWaterhouse-Coopers (PWC) itu kelak akan dijadikan input bagi membantu kerajaan membuat keputusan berkenaan perjanjian itu.

“Kira-kira enam minggu lagi kita jangka analisis ini akan siap, pagi tadi pun saya ada bertemu dengan mereka bagi mengetahui kemajuan analisis ini,” katanya ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang bertanyakan mengenai pendirian Malaysia terhadap TPPA.

Mustapa berkata hasil analisis berkenaan nanti akan didedahkan kepada umum, termasuk teks rundingan, selain satu sesi perbahasan juga akan diadakan di Parlimen sebelum keputusan mengenai perjanjian tersebut dibuat.

Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Reuters
Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Reuters

Menjelaskan lebih lanjut Mustapa berkata sehingga kini, kementerian telah mengadakan lebih 100 pertemuan bagi membincangkan perjanjian berkenaan, termasuk dengan Kaukus Parlimen yang ditubuhkan khas bagi memberi pandangan kepada kerajaan mengenai perjanjian terbabit.

Mustapa berkata dalam membuat keputusan mengenai perjanjian berkenaan, kerajaan menjamin kedaulatan negara tidak akan terjejas selain mengambil kira pandangan semua pihak.

“Kita juga tegaskan tiada mana-mana negara yang boleh memaksa kita untuk memuktamadkan perjanjian ini.

“Apa pun yang akan kita lakukan, kita tidak mahu hilang kebebasan melaksanakan dasar-dasar tertentu serta kedaulatan dan kepentingan negara akan dipertahankan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA