ANC akan akhiri krisis di Afrika Selatan

JOHANNESBURG, 12 Feb – Pemimpin tertinggi Afrika Selatan yang memerintah Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) akan bertemu hari ini untuk ‘memuktamadkan’ perletakan jawatan Presiden Jacob Zuma setelah pemimpin parti Cyril Ramaphosa berjanji untuk ‘mengakhiri’ krisis berkenaan.

Ramaphosa berkata pada perhimpunan parti di Bandar Cape semalam bahawa dia mahu menggantikan ‘tempoh kesukaran, perpecahan dan perbalahan’ dengan ‘permulaan baru’ untuk parti itu.

“Kami tahu anda mahu perkara ini dimuktamadkan,” katanya kepada pendengar yang bersorak gembira, bersumpah untuk mengatasi rasuah yang telah merosakkan kerajaan Zuma.

Zuma bertahan teguh selepas menolak permintaan pegawai kanan parti untuk meletak jawatan seminggu lalu.

Jawatankuasa tinggi boleh menarik balik presiden dari pejabatnya, walaupun dia tidak mempunyai kewajiban perlembagaan untuk mematuhi perintah itu.

Ramaphosa berkata dalam perhimpunan parti di Bandar Cape pada 11 Februari 2018 bahawa pemimpin tertinggi Afrika Selatan yang memerintah ANC akan bertemu untuk ‘memuktamadkan’ perletakan jawatan Presiden Jacob Zuma. – AFP

“Kami tahu anda mahu mengakhirinya – kami akan melakukannya dengan mengawasi apa yang menjadi kepentingan semua rakyat kami,” kata Ramaphosa semalam.

“Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan ANC akan bermesyuarat esok untuk membincangkan perkara ini – dan kerana rakyat kita mahu perkara ini dimuktamadkan, NEC akan melakukannya dengan tepat.”

Litha Madita, 48, seorang pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Bandar Cape, mengalu-alukan pengumuman mesyuarat NEC itu sambil menambah bahawa Ramaphosa telah berbicara ‘untuk aspirasi penduduk Afrika Selatan’.

“Ia membawa harapan bahawa terdapat usaha baru yang kita akan perolehi.

“Tetapi kita perlu menghormati (Zuma) sebagai bekas presiden ANC. Ia penting untuk tidak mengganggu negara atau membawa keganasan ke negara ini.”

Pemerintahan Presiden Zuma telah dicemari oleh skandal rasuah, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengangguran yang mencetuskan kemarahan masyarakat.

Kebuntuan atas pemergian Zuma dari jawatannya telah menyebabkan ekonomi yang paling maju di Afrika itu terabai, dengan beberapa siri acara awam dibatalkan minggu lalu termasuk ucapan khas negara ke parlimen Khamis lalu.

Parti pembangkang minggu lalu telah mengancam ‘penutupan negara’ sebagai tindak balas terhadap keengganan Zuma untuk meletak jawatan – walaupun tidak jelas apakah tindakan itu akan diteruskan. – AFP