Ancaman bom di bilik air pesawat

Ancaman bom di bilik air pesawat

NEW DELHI, 7 Julai (AFP) – Sebuah penerbangan Turkish Airlines yang membuat perjalanan dari Bangkok menuju ke Istanbul telah membuat pendaratan kecemasan di India, hari ini, selepas satu ancaman bom telah ditulis menggunakan lipstik pada cermin bilik air penerbangan itu, menurut para pegawai.

Kesemua 148 penumpang dan kru telah segera dipindahkan selepas pesawat itu mendarat dengan selamat di kawasan terasing di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi New Delhi berikutan ancaman bom ketiga yang melanda penerbangan itu tahun ini.

“Kru ternampak mesej pada cermin bilik air yang mengatakan terdapatnya bom dalam kargo berkenaan…Pesawat akan diperiksa bagi bahan letupan itu,” menurut jurucakap ketua lapangan terbang, Saptarshi Sanyal memberitahu AFP melalui teks mesej.

Menteri penerbangan awam, Mahesh Sharma, mengatakan skuad pelupus bom dan pasukan keselamatan kebangsaan tidak menemui sebarang bom selepas menggeledah kabin utama.

“Di dalam kabin itu tidak menunjukkan sebarang bahan letupan. Kini kami sedang mengimbas bahagian bagasi,” Sharma memberitahu rangkaian berita NDTV, menambah bahawa para penumpang kini sedang disoal siasat mengenai mesej tersebut. Pesawat itu sedang diperiksa di kawasan terasing di lapangan terbang berkenaan selepas kru mengesahkan kepada juruterbang mengenai nota pada cermin bilik air pesawat itu yang dilaporkan ditulis menggunakan lipstik.

Para pegawai India melakukan pemeriksaan ke atas penerbangan Turkish Airlines yang diasingkan di salah satu tempat di Lapangan Terbang Indira Gandhi, New Delhi pada 7 Julai. – AFP
Para pegawai India melakukan pemeriksaan ke atas penerbangan Turkish Airlines yang diasingkan di salah satu tempat di Lapangan Terbang Indira Gandhi, New Delhi pada 7 Julai. – AFP

Sharma mengatakan pesawat itu sedang terbang di kawasan bandar Nagpur, India apabila juruterbang meminta kawalan lalu lintas udara bagi pendaratan kecemasan dan mengalihkan perjalanannya ke Delhi.

Ia adalah ancaman ketiga sejenisnya yang menjejaskan Turkish Airlines tahun ini sahaja.

Pada April, pesawat penumpang Turkish Airlines terbang dari Istanbul ke Basel berpatah balik ke ruang udara Bulgaria selepas menemui nota dengan amaran bertulis mengenai sebiji bom di dalam pesawat itu, yang akhirnya ditemui tidak benar.

Sebulan sebelum kejadian itu, salah sebuah penerbangannya yang terbang dari Istanbul ke Brazil telah membuat pendaratan kecemasan serupa di Maghribi selepas kru menemui nota bertulis dalam salah satu bilik air pesawat itu yang juga memberi amaran mengenai bom.

ARTIKEL YANG SAMA