Ancaman bom untuk tangguh jadual penerbangan teman wanita

Ancaman bom untuk tangguh jadual penerbangan teman wanita

BORDEAUX, 24 Mei (AFP) – Polis Perancis telah menangkap seorang lelaki yang membuat panggilan amaran palsu mengenai terdapatnya bom di lapangan terbang untuk menangguhkan pesawat teman wanitanya kerana bimbang kekasihnya itu akan terlepas penerbangan tersebut, menurut para pendakwa hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu telah menelefon lapangan terbang serantau Bordeaux-Merignac di barat daya Perancis pada Khamis dan memberitahu pihak berkuasa bahawa ‘terdapatnya bom’ di sana.

Polis segera menutup sebahagian lapangan terbang itu untuk menjalankan pemeriksaan. Lelaki itu telah ditangkap kira-kira 20km jauhnya dari Bordeaux dan telah ditahan.

Semasa dalam siasatan polis, dia mengakui membuat panggilan tentang ancaman bom itu dan menjelaskan dia ingin menangguhkan penerbangan teman wanitanya kerana wanita itu telah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, tindakan itu merupakan kesilapan besar. Para pendakwa memberitahu AFP dia akan berdepan dua tahun penjara dan denda 30,000 euro (AS$33,000) dan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah di Bordeaux.