Ancaman Daesh: Polis perketat kawalan pintu masuk KLIA,

Ancaman Daesh: Polis perketat kawalan pintu masuk KLIA,

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pintu masuk utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) terus diperketatkan sebagai langkah berwaspada dalam berdepan ancaman kumpulan militan Daesh, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini bagi membincangkan beberapa cadangan mengenai kawalan keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

“Kami kemukakan beberapa cadangan dan input (keselamatan) kepada kementerian bagi meningkatkan tahap kawalan keselamatan setiap penumpang dan pelancong yang berada di lapangan terbabit.

“Jadi, tidak perlu saya ulas lebih lanjut mengenai cadangan itu di sini. Biarlah Menteri Pengangkutan sendiri (Datuk Seri Liow Tiong Lai) yang mengumumkannya kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Cawangan Khas Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan sedang mempertimbang cadangan untuk membenarkan hanya penumpang yang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama di Malaysia sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan. – Bernama