Ancaman IS kekal meski menerima tamparan tentera

PBB, Amerika Syarikat, 11 Ogos – Kumpulan Islamic State (IS) terus “memotivasikan dan membolehkan” serangan global dan menyalurkan wang kepada penyokong meskipun tamparan tentera ke atas pemerintahan Khalifah di Syria dan Iraq, menurut laporan PBB semalam.

Teks setebal 24 muka surat, disediakan oleh panel pakar untuk Majlis Keselamatan, mendapati pengiriman yang dihantar ke luar negara – sering dalam jumlah yang kecil, menjadikannya mereka sukar untuk dikesan – dikeluarkan tatkala IS mempertingkat usaha antarabangsanya “seperti yang dibuktikan oleh kadar serangan yang lebih pesat di Eropah.”

Sumber pembiayaan masih berdasarkan keuntungan minyak dan cukai yang dikenakan ke atas penduduk tempatan di kawasan di bawah kawalannya.

Di luar Eropah, IS berusaha mengembang pengaruh mereka di Asia Tenggara, kata laporan, memetik selatan Filipina di mana pengepungan bandar telah membunuh hampir 700 orang dalam pertempuran lebih daripada dua bulan lamanya.

Ia mendapati jumlah “pejuang pengganas asing” yang berkunjung ke Iraq dan Syria “terus merosot. Selain daripada itu, situasi kewangan IS terus merosot,” kebanyakannya disebabkan tekanan tentera ke atas kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, tumpuan khas perlu diberikan kepada orang muda yang pulang selepas menjalani latihan IS. Kumpulan ini memerlukan “tumpuan dan strategi khas yang mengambil kira perlindungan undang-undang untuk golongan di bawah umur.”

Laporan menambah tentangan sengit di Mosul, bandar kedua terbesar Iraq yang diisytiharkan “bebas” oleh kerajaan pada Julai, menunjukkan struktur kawalan dan pemerintahan IS “belum dihapuskan sepenuhnya,” dan masih menimbulkan “ancaman yang besar kepada tentera.”

Di samping itu, IS telah mempelajari untuk mengubahsuai dron yang boleh diperoleh dari segi komersial malah membina dronnya sendiri untuk misi pengintipan dan pengeboman.

Rakan kumpulan jihad Al-Qaeda sementara itu mengekalkan rangkaian berpengaruh di Afrika Barat, Afrika Timur dan Semenanjung Arab, terutamanya Yaman, dengan gabungan tempatan membenarkan pergerakan pejuang di antara kedua-dua kumpulan bersaingan. – AFP