Ancaman kepup...

Ancaman kepupusan koala cetus kebimbangan

SYDNEY, 18 Mei – Populasi koala yang sebelum ini berkembang biak, kini menghadapi ancaman kepupusan, demikian menurut penyelidik di Australia, yang menyeru agar spesis itu dilindungi daripada kepupusan, lapor agensi berita China Xinhua.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sunshine Coast di Queensland, Australia, yang menjalankan kajian di kawasan Fraser Coast terkejut apabila mendapati terdapat pengurangan dengan ketara koala di kawasan berkenaan.

Kaji selidik awam yang dilakukan Tiaro and Land District Care Group pada 2003 merakamkan beberapa penampakan haiwan berkenaan, namun kali ini tiada seekor pun koala yang ditemui di kawasan itu, berkemungkinan disebabkan berlakunya kepupusan setempat.

“Jika kepupusan setempat ini berterusan berlaku, kita khuatir dalam tempoh 10 tahun lagi, tiada lagi koala yang tinggal,” kata penyelidik, Anthony Schultz kepada Xinhua.

“Ia sangat mengejutkan. Kebiasaannya, pengurangan populasi secara ketara berpunca daripada sebab-sebab tertentu, namun di sini, tiada sebab yang boleh menyebabkan kepupusan setempat daripada berlaku, tetapi ia tetap juga terjadi,” katanya.

Ancaman terhadap kepupusan koala telah mencetuskan kebimbangan buat para penyelidik. – AFP
Ancaman terhadap kepupusan koala telah mencetuskan kebimbangan buat para penyelidik. – AFP

Beliau yang turut terlibat dalam penyelidikan yang dijalankan Majlis Fraser Coast, melawat kembali kawasan kajian asal untuk mengesan populasi koala dengan bantuan anjing pengesan yang dilatih untuk menghidu bau koala atau najis haiwan itu.

“Anjing-anjing ini lebih hebat mengesan berbanding manusia, tetapi mereka tidak dapat mengesan sebarang sisa koala. Anjing-anjing dapat mengesan tinggalan haiwan itu walaupun ia ditinggalkan enam bulan yang lalu, jadi jika mereka tidak dapat mencari apa-apa, ia bermakna tidak ada koala di kawasan ini sama sekali untuk enam bulan lepas,” katanya.

“Memang ada kes-kes kepupusan setempat yang berlaku sebelum ini, nampaknya ia berlaku sekali lagi,” katanya.

Penemuan itu turut mengejutkan penyelidik yang menganggap kawasan berkenaan sesuai dijadikan tempat tinggal koala berikutan hutan yang luas dan tiada pembangunan utama di kawasan berkenaan. – Bernama