Ancaman peran...

Ancaman perang Korea mula reda

Oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Rakyat di negara ini boleh menarik nafas lega kerana tanda-tanda ketegangan ancaman perang yang berlaku di Semenanjung Korea mula reda secara beransur-ansur.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea Selatan ke Negara Brunei Darussalam, Cho Won-Myung (gambar) semalam memberi jaminan kepada ibu bapa pelajar negara ini yang sedang belajar di sana bahawa kemungkinan perang berlaku agak rendah walaupun ketegangan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat.

“Kebanyakan pakar berkata bahawa kemungkinan perang meletus di Semenanjung Korea amat rendah. Melalui pemerhatian saya, kenyataan Trump baru-baru ini telah memberi tekanan kepada Korea Utara untuk meninggalkan program peluru berpandu nuklear dan balistik,” kata beliau.

Terdapat kira-kira 85 orang pelajar Brunei sedang belajar di Korea sama ada melalui program pertukaran di bawah biasiswa kerajaan Korea atau pembiayaan peribadi. “Saya dapat membaca bahawa pemimpin China dan AS lebih suka memilih penyelesaian secara aman dan bukannya menggunakan kekerasan,” kata Cho Won-Myung lagi.

Walaupun Semenanjung Korea kini diselubungi ketegangan yang tinggi, kemungkinan perang tidak akan berlaku, kata beliau.

Beliau juga menegaskan jurucakap di Kementerian Pertahanan Korea Selatan menekankan bahawa tiada tindakan akan diambil tanpa rundingan atau persetujuan di antara Korea Selatan dan AS.

“Untuk beberapa dekad, ketegangan di Semenanjung Korea sentiasa naik turun. Kita telah menyaksikan beberapa ketegangan sudah berlaku tetapi kerajaan Korea sudah menyediakan pelan kontingensi termasuk pemindahan warga asing,” kata beliau lagi.

Terdapat lebih daripada 450 orang warga Korea tinggal di Brunei pada masa ini, meningkat daripada hanya 180 orang pada 2014.

Peningkatan jumlah itu disebabkan oleh pelbagai projek pembangunan yang dijalankan oleh syarikat pembinaan Korea Daelim di negara ini.