Ancaman rekrut IS di Asia Tenggara perlu diambil berat

Ancaman rekrut IS di Asia Tenggara perlu diambil berat

JAKARTA, Indonesia, 14 Julai – Serangan gagal daripada para pengikut kumpulan Islamic State (IS) di Asia Tenggara telah memperlihatkan perpecahan dan ketiadaan kepakaran yang telah menghasilkan angka kematian banyak di tempat lain di dunia.

Tetapi pakar-pakar pengganasan mengatakan ancaman dari para militan, yang tersebar di seluruh Indonesia, Malaysia dan selatan Filipina, seharusnya tidak dipandang remeh dan kumpulan itu mungkin berubah menjadi pasukan lebih berbahaya melalui latihan dan kepimpinan.

Terdapat banyak sekali tanda-tanda radikal di rantau ini telah dihidupkan desakan bagi serangan oleh ketua IS Abu Bakar al Baghdadi dan hasrat kumpulan itu untuk membentuk wilayah-wilayah Asia Tenggara di bawah pemerintahan IS meskipun ia kehilangan wilayah di Syria dan Iraq. Letupan bom tangan di sebuah bar berhampiran Kuala Lumpur, Malaysia pada Jun lalu diakui oleh pihak polis sebagai serangan pertama IS di negara itu, yang mana lebih 150 orang telah ditahan kerana penglibatan dengan kumpulan militan sejak 2014.

Serangan itu telah mencederakan lapan orang tetapi tidak mengakibatkan kematian. Penangkapan berikutnya mereka yang mempunyai kaitan dengan serangan itu telah melibatkan dua orang pegawai polis.

Pengeboman berani mati yang ditujukan ke atas polis pada minggu lalu di bandar Indonesia, Solo, hanya mengorbankan pengebom itu, yang menurut polis adalah rakan kepada Bahrun Naim, salah seorang dari ratusan warga Indonesia yang menyertai IS di Syria dan yang mempunyai kaitan dengan komplot lain di Indonesia. Kedua-dua serangan berlaku dalam bulan suci Ramadan, tetapi hanya menarik sedikit perhatian pada ketika apabila gelombang keganasan militan di beberapa buah negara, termasuklah AS, Turki dan Bangladesh, yang mengorbankan kira-kira 350 orang.

“Ancaman IS telah meningkat di seluruh rantau itu tetapi dari pangkalan yang agak kecil,” kata Sidney Jones, pengarah Institusi Analisis Dasar Konflik. “Kami melihat lebih banyak kaitan. Kebarangkalian perhubungan di seluruh sempadan kebangsaan adalah lebih tinggi,’ katanya.

“Kita perlu terbuka kepada kemungkinan bahawa kedua-dua kaedah dan profesionalisme serangan mungkin bertambah.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA