Ancelotti ganti Guardiola

Ancelotti ganti Guardiola

BERLIN, 20 Dis (AFP) – Pep Guardiola bakal meninggalkan kerusi ketua jurulatih di Bayern Munich pada akhir musim ini dan tempatnya diambil alih oleh Carlo Ancelotti, kata pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

“Kami menghargai sumbangan Guardiola kepada kelab ini dan berharap dapat meraikan lebih banyak kejayaan pada musim ini, terutama selepas mengetahui yang dia akan meninggalkan kelab,” kata Rummenigge dalam satu kenyataan.

“Ancelotti mempunyai banyak kejayaan selaku jurulatih dan sudah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali.

“Dia seorang yang tenang, tahap profesionalnya juga seimbang dan boleh berurusan dengan pemain bintang selain membenarkan kamu bermain dengan corak bola sepak yang fleksibel – kami sudah menemui apa yang dimahukan.

Ancelotti telah disahkan akan menggantikan tempat Pep Guardiola selepas ketua jurulatih itu menamatkan musim akhirnya di Bayern Munich. – Reuters
Ancelotti telah disahkan akan menggantikan tempat Pep Guardiola selepas ketua jurulatih itu menamatkan musim akhirnya di Bayern Munich. – Reuters

“Dengan Ancelotti, kami mempunyai seorang yang baharu, jurulatih yang berjaya untuk Bayern. Kami tidak sabar untuk bekerja bersamanya,” katanya.

Ancelotti, 56, bakal membawa pengalaman berharga ke Bayern berdasarkan kejayaannya menjuarai Liga Juara-Juara – dua kali bersama AC Milan pada tahun 2003 dan 2007, kemudian dengan Real Madrid pada 2014.

“Satu penghormatan besar buat saya yang bakal melatih sebuah kelab yang hebat seperti Bayern pada musim depan,” kata Ancelotti yang mengikat kontrak dengan kelab itu selama tiga tahun sehingga 2019.