Ancelotti masih yakin

Ancelotti masih yakin

MADRID, 10 Mei (AFP) – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya pasukannya boleh mengatasi defisit 2-1 untuk mara ke final Liga Juara-Juara menentang Juventus walaupun impian gelaran La Liga mereka padam selepas seri 2-2 dengan Valencia semalam.

Juara Eropah itu kini empat mata di belakang pendahulu liga Barcelona dengan baki dua perlawanan dan berhempas pulas mengejar pasukan lama Ancelotti di laman sendiri pada Rabu untuk menghidupkan musim mereka.

“Kami perlu positif dan menghargai bagaimana kami bermain dalam perlawanan ini. Kesalahan kecil membawa padah pada masa ini, tetapi kami perlu bertenang dan keyakinan perlu untuk kembali,” kata Ancelotti.

Beberapa pertahanan hambar membenarkan Paco Alcacer dan Javi Fuego memberikan Valencia peluang mendahului 2-0 dalam 25 minit. Percubaan Gareth Bale menggegar palang, Cristiano Ronaldo dan Javier Hernandez gagal menemui sasaran sebelum penalti Ronaldo diselamatkan oleh Diego Alves.

Alves mempamerkan penyelamatan menarik selepas rehat tetapi tuan rumah sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan satu mata melalui tandukan Pepe yang menjulang tinggi dan tendangan lencong dari Isco.

“Ada dua perlawanan lagi. Kami perlu memenangi tetapi jelas ia lebih sukar (untuk menang liga),” akui bos Madrid, Carlo Ancelotti.

“Keputusannya tidak bagus dengan prestasi yang bertentangan. Kami mempunyai banyak peluang. Terkena tiang tiga kali, terlepas penalti tetapi kadang-kadang ia tidak cukup.

“Kami mendapat banyak positif daripada permainan dan jika kami bermain seperti itu Rabu ini, ia akan menjadi bagus.”