Ancelotti sedia ke Old Trafford

Ancelotti sedia ke Old Trafford

LONDON, 8 Dis – Bekas bos Real Madrid dan Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui berminat untuk menjadi pengendali Manchester United jika jawatan itu kembali dibuka.

Pengurus United ketika ini, Louis van Gaal dikatakan bakal bersara apabila kontraknya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu tamat pada hujung musim 2016/2017. Ancelotti yang dipecat Real, Mei lalu sudah mula dikaitkan dengan The Red Devils tahun ini dan namanya sekali lagi menjadi sebutan selepas Van Gaal teruk dikritik kerana taktikal yang diterapkannya.

United perlu menang ke atas Wolfsburg, awal pagi esok untuk mengelak tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan Ancelotti berkata dia mungkin akan kembali bekerja tahun depan tetapi sanggup menunggu lebih lama terutama jika United berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Sudah pasti, untuk semua pengurus mereka akan memikirkan untuk mengendalikan United. Saya akan terus menunggu, jika saya tidak menemui kelab dengan projek yang baik, saya boleh tunggu.

“Apa yang saya akan lakukan? Menonton perlawanan, memancing dan sebagainya. Namun, kita tunggu sehingga musim panas depan.

“Saya tidak akan mengambil tugas pada pertengahan musim tetapi saya mahu kembali bekerja pada musim panas akan datang,” kata Ancelotti.

Ancelotti yang turut pernah membimbing AC Milan, Juventus, Paris Saint Germain berjaya membawa Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2010 dengan The Blues menjaringkan 103 gol. – AFP