Ancelotti sedia ke pangkuan Chelsea

Ancelotti sedia ke pangkuan Chelsea

LONDON, 29 Okt (Agensi) – Carlo Ancelotti dikatakan bakal kembali ke pangkuan Chelsea jika Jose Mourinho dipecat.

Namun, bekas bos Blues itu memaklumkan kepada sahabatnya, dia hanya bersedia kembali ke Stamford Bridge untuk kali kedua jika ditawarkan kontrak tetap.

Mourinho kini berdepan risiko dipecat selepas Chelsea memulakan kempen mempertahankan gelaran musim ini dengan prestasi buruk, yang menyaksikan mereka terperosok di anak tangga ke-15, setelah lima kekalahan daripada 10 perlawanan.

Segelintir pemain senior percaya, hanya masa yang akan menentukan sebelum warga Portugal itu melangkah pergi dari Chelsea.

Ancelotti pernah membawa Chelsea merangkul gelaran berganda dalam tahun pertamanya di Stamford Bridge pada 2009-10, tetapi dipecat setahun kemudian.

Carlo Ancelotti. – Reuters
Carlo Ancelotti. – Reuters

Semua sudah maklum Ancelotti sememangnya berminat untuk sekali lagi kembali ke England dan tidak menolak kemungkinan untuk menggalas tugas di Chelsea buat kali kedua, dengan Roman Abramovich berkata, dia menyesal membuat keputusan memecat warga Itali itu empat setengah tahun yang lalu.

Bagaimanapun Ancelotti, yang kini tidak memiliki pekerjaan sejak me­ninggalkan Real Madrid pada musim panas lalu, tidak berminat jika dia diberi tanggungjawab sebagai pengendali sementara hingga penghujung musim ini.

Chelsea kini berada sembilan mata di belakang kelompok empat teratas, dan jika Abramovich semakin yakin bahawa kelabnya berada dalam bahaya kehilangan slot Liga Juara-juara, maka tempoh Mourinho bersama Blues bakal berakhir.

Bos Atletico Madrid, Diego Simeone yang turut dilihat sebagai calon untuk menggantikan ‘Special One’ pula memerlukan bayaran pampasan kerana jurulatih itu masih mempunyai kontrak hingga 2020 yang bernilai lebih 20 juta pound (RM130 juta) dengan kelab berpangkalan di ibu negara Sepanyol itu.

Namun, kelemahan Simeone yang tidak fasih berbahasa Inggeris akan menjadi penghalang kepadanya untuk mengambil alih tanggungjawab di Stamford Bridge.