Ancelotti: Strategi Bayern dikekalkan

Ancelotti: Strategi Bayern dikekalkan

BERLIN, 12 Julai – Jurulatih baru Bayern Munich Carlo Ancelotti berkata semalam dia akan meneruskan strategi serangan pemimpin sebelumnya Pep Guardiola untuk pasukan Bundesliga, dan berjanji “akan berusaha memenangi setiap pertandingan.”

“Saya datang selepas seorang pengurus hebat, dan saya akan cuba mengikutnya dengan bola sepak yang hebat, dan bola sepak serangan,” kata Ancelotti pada persidangan akhbar pertamanya sebagai ketua jurulatih juara Jerman itu.

“Saya bukan berada di sini untuk melakukan satu revolusi. Tugas yang dilakukan oleh Guardiola adalah hebat dan saya ingin mengikut gayanya,” tekan Ancelotti, yang, seperti pengurus Sepanyol, bercakap dalam bahasa Jerman pada permulaan mesyuarat pertamanya, setelah mengikuti kursus bahasa.

Ancelotti mempunyai rekod yang lebih baik di Eropah berbanding pemimpin sebelumnya. Pengurus Itali berusia 56 tahun itu telah memenangi Liga Juara-Juara tiga kali bersama dua kelab berlainan, pada 2003 dan 2007 bersama AC Milan, seterusnya pada 2014 bersama Real Madrid.

Ancelotti (kiri) dan pembantunya Paul Clement bercakap semasa sesi latihan pertama skuad Bayern Mu-nich di Saebener Strasse, kelmarin. - AFP
Ancelotti (kiri) dan pembantunya Paul Clement bercakap semasa sesi latihan pertama skuad Bayern Mu-nich di Saebener Strasse, kelmarin. – AFP

Guardiola menjulang trofi dua kali bersama Barcelona pada 2009 dan 2011. Namun, meskipun memimpin Bayern memenangi empat kejuaraan Bundesliga berturut-turut pada April, kejohanan Liga Juara-Juara gagal diperoleh oleh skuadnya ketika di bawah pimpinannya.

Ancelotti berkata Bayern akan “berusaha memenangi setiap pertandingan” walaupun jika dia mengakui kesukaran yang dihadapi, memandangkan “semua pasukan teratas memulakan musim mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara.”

Namun pertama, dia mungkin perlu menjawab soalan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan Mario Goetze, yang telah bertahan tiga tahun dan tidak menggembirakan di Munich, di mana dia kebanyakan masa hanya dijadikan pemain simpanan.

Spekulasi telah tersebar mengatakan pemenang Piala Dunia Jerman sama ada akan menyertai bekas jurulatih Jurgen Klopp di Liverpool atau pulang semula ke bekas kelabnya Dortmund.

Ancelotti berkata dia mempunyai perbualan terus-terang dengan Goetze sebulan lalu, namun enggan mendedahkan butiran perbualan tersebut. Pengurus itu hanya berkata asalkan Goetze pemain Bayern, “saya akan melayannya sebagai pemain Bayern.” – AFP