Aneka hidanga...

Aneka hidangan Cina

MASYARAKAT Cina terkenal dengan cara masakan yang menyihatkan dan banyak menggunakan herba-herba untuk kesihatan.

Namun hendak menikmati hidangan CIna selalunya memerlukan kadar perbelanjaan yang agak tinggi.

Justeru, apa kata masak sendiri di rumah dan ia jelas adalah lebih jimat dan kini beberapa resipi masakan Cina dikongsikan.

Selamat mencuba!

Ayam Masak Bijan

Bahan-bahan:

1/3 ekor ayam

1 ulas bawang putih

1 biji bawang merah

3 inci halia

Garam dan gula

3 sudu makan sos tomato

2 sudu makan bijan

1 cawan minyak masak

Cara membuat:

Ayam dipotong kecil dan digoreng. Ketepikan.

Bawang putih, bawang merah dan halia ditumbuk.

Tumis bahan tumbuk sehingga naik wangi dan tambahkan sos tomato, gula dan garam secukup rasa. Kacau sebati.

Kemudian, masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul dengan bahan tumisan tadi. Taburkan bijan di atasnya.

Angkat dan sedia untuk dinikmati.

Cendawan Shimeji Goreng Tepung

Bahan-bahan:

50 gram cendawan shimeji yang

dibersihkan, asingkan setiap batang

40 gram serbuk kuning telur masin

20 gram serbuk keju parmesan

5 gram serbuk ayam

10 gram gula

100 gram mentega

800 gram minyak masak

100 gram tepung gandum

60 gram air

Cara membuat:

Di dalam mangkuk, campurkan tepung dengan air. Kacau hingga ia sebati. Celup sudu ke dalam adunan dan jika boleh melekat pada batang sudu, bermakna adunan sudah sedia.

Celup cendawan Shimeji satu persatu ke dalam adunan tadi.

Panaskan minyak di dalam kuali sehingga 1900C. Goreng cendawan secara deep fried sehingga ia bertukar menjadi kuning keemasan.

Angkat dan toskan dengan tisu dapur. Ulangi langkah sehingga selesai.

Panaskan mentega di dalam kuali dan masukkan serbuk kuning telur masin, serbuk ayam, gula dan keju parmesan. Kacau sekata.

Akhir sekali, masukkan satu persatu cendawan yang telah digoreng ke dalam adunan tersebut dan goreng.

Hidangkan ketika panas.

Sup Akar Teratai

Bahan-bahan:

½ ekor ayam yang dipotong kecil dan dibersihkan

600 gram akar teratai

20 biji kurma merah

10 keping tiram kering

1.5 liter air masak

Cara membuat:

Masukkan kesemua bahan tadi ke dalam air masak dan stim selama empat jam.

Selepas empat jam, tambahkan garam dan stim semula kira-kira 30 minit.

Angkat dan sedia untuk dinikmati.