Anelka bersama Mumbai FC

Anelka bersama Mumbai FC

NEW DELHI, 5 Julai (Reuters) – Bekas bintang Perancis dan Chelsea, Nicolas Anelka akan kembali menyertai Mumbai City FC sebagai pemain dan pengurus bagi musim kedua saingan Liga Super India (ISL), umum kelab itu kelmarin.

Pemain berusia 36 tahun itu yang menjaringkan dua gol untuk Mumbai FC ketika saingan pembukaan liga dengan lapan pasukan itu tahun lalu, sebelum ini turut memainkan peranan sama ketika bersama kelab China, Shanghai Shenhua pada 2012.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mumbai FC kerana memberi peluang membimbing kelab itu,” kata Anelka yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea, Manchester City, Arsenal dan Liverpool dalam satu kenyataan.

“Kita semua tentunya berasa teruja dengan permulaan musim baharu. Saya secara peribadi tidak sabar memainkan peranan baru untuk kelab ini dan sekali gus menyediakan sebuah pasukan mantap bagi bersaing nanti.”

Anelka akan menyertai Mumbai City FC sebagai pemain dan pengurus bagi musim kedua saingan Liga Super India. – Reuters
Anelka akan menyertai Mumbai City FC sebagai pemain dan pengurus bagi musim kedua saingan Liga Super India. – Reuters

Mumbai City FC dimiliki oleh beberapa pelakon filem terkenal Bollywood seperti Ranbir Kapoor, menduduki tangga ketujuh musim lalu.

“Saya berasa teruja Nicolas akan menjadi pemain dan pengurus pasukan sekali gus,” kata Kapoor.

Pemain legenda Brazil, Zico akan menjadi pengurus pasukan Goa, manakala rakan senegaranya yang juga bekas bintang Real Madrid, Roberto Carlos dijangka membimbing kelab Delhi dalam saingan ISL musim ini yang bermula 3 Oktober ini.