Anfield kecoh pengunjung hilang

Anfield kecoh pengunjung hilang

LONDON, 28 Okt (AFP) – Stadium Anfield di Liverpool dibuka semula selepas ditutup seketika sebagai langkah keselamatan susulan seorang pelawat dilaporkan hilang ketika berada di situ semalam.

Gelanggang skuad The Reds itu terpaksa dikosongkan selepas kelab terbabit melaporkan seorang pengunjung hilang daripada kumpulan pelawat yang melawat stadium berkenaan, hingga memaksa polis menjalankan operasi mencarinya selama beberapa jam.

Hasil operasi mencari itu, polis Liverpool dan Merseyside berkata, mereka berpuas hati stadium berkenaan adalah selamat, sekali gus membolehkan aksi Piala Liga antara tuan rumah dengan Bournemouth pada awal pagi esok waktu Brunei, diteruskan.

“Stadium Anfield kini dibuka sepenuhnya, susulan langkah pengosongan awal pada tengahari. Sepanjang insiden, keutamaan kelab sepanjang masa adalah keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

“Kami boleh mengesahkan perkhidmatan kecemasan dipanggil dan kami mengucapkan terima kasih kepada semua atas kerjasama diberikan.

Polis berkata, individu yang hilang itu tidak ditemui dalam kawasan stadium. “Pegawai dan kelab berpuas hati, tiada sesiapa yang hilang di dalam kawasan stadium dan ia adalah selamat,” katanya.