Ang Mo Kio bandar model berjalan kaki, berbasikal

Ang Mo Kio bandar model berjalan kaki, berbasikal

SINGAPURA, 10 Julai – Fasa pertama projek menjadikan estet Ang Mo Kio bandar model berjalan kaki dan berbasikal selesai dijalankan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, semalam.

Fasa itu antara lain melibatkan kerja menyediakan laluan berbasikal di sekitar Ang Mo Kio Avenue 1, 3 dan 8.

Laluan sepanjang empat kilometer itu membolehkan penduduk berjalan dan berbasikal ke Kompleks Renang Ang Mo Kio, pusat beli-belah AMK Hub dan ke stesen MRT Ang Mo Kio dengan lebih mudah lagi, lapor Berita Harian Singapura edisi online hari ini.

Sebagai sebahagian usaha menuju ke arah kurang penggunaan kereta di Singapura, Ang Mo Kio merupakan bandar pertama di sini yang menggunakan laluan basikal berwarna merah agar ia boleh dibezakan daripada laluan bagi pejalan kaki.

Ciri keselamatan yang disediakan termasuk jalur di laluan agar pengayuh basikal dapat menunggang dengan perlahan.

Peta yang mudah dibaca diletakkan di sepanjang laluan agar dapat membantu penduduk mengenali laluan berbasikal.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong (tengah) berbasikal di laluan baru berwarna merah, khas buat penung-gang basikal yang mengayuh di bawah jejambat MRT di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 8. - Gambar BHS
Perdana Menteri Lee Hsien Loong (tengah) berbasikal di laluan baru berwarna merah, khas buat penung-gang basikal yang mengayuh di bawah jejambat MRT di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 8. – Gambar BHS

Dalam ucapannya semalam, Lee berkata, projek tersebut menunjukkan bagaimana kita boleh memperbaiki bandar baru kita, menjadikan ia lebih mudah dan selamat bagi kegunaan ramai.

“Melalui projek ini, kita boleh menggalakkan penduduk menunggang basikal dan mengurangkan penggunaan kereta serta menjimatkan wang.”

Projek mengubah Ang Mo Kio direka bersama dan dibangunkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Satu lagi inovasi bagi projek ini ialah mengubah ruang di bawah jejambat MRT di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 8 menjadi laluan lurus. Laluan ini boleh digunakan penduduk yang ingin berjalan ataupun menunggang basikal.

Bagi fasa kedua projek ini pula, laluan berjalan kaki dan berbasikal sepanjang 1.6 kilometer akan dibina di sepanjang jejambat di antara stesen MRT Yio Chu Kang dengan Ang Mo Kio.

LTA dan URA akan membina laluan pejalan kaki dan berbasikal di sepanjang jejambat MRT di sebelah stesen Ang Mo Kio.

Kerja pembinaan akan bermula tidak lama lagi dan dijangka selesai pada 2019.

Lee berkata beliau gembira melihat kemajuan projek ini dan berharap penduduk dapat menggunakan laluan ini sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA