Angelique Kerber sudah cukup sedia

Angelique Kerber sudah cukup sedia

SYDNEY, 12 Jan (AFP) – Pemain Jerman Angelique Kerber berjaya mengatasi panas terik dan keletihan semalam untuk memastikan persediaannya menjelang Terbuka Australia minggu depan tidak terganggu.

Pilihan keempat yang juga salah seorang daripada 10 pemain wanita terbaik dunia tidak berdepan masalah menjelang Grand Slam pertama musim ini, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mengatasi pemain Ukraine Elina Svitolina 4-6, 6-0, 6-3 pada pusingan pertama kejohanan Antarabangsa Sydney.

Angelique yang tewas kepada Victoria Azarenka pada final kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu lalu mahukan lebih banyak perlawanan untuk memantapkan prestasinya menjelang Terbuka Australia di Melbourne.

Ketika Petra Kvitova dan pilihan kedua Agnieszka Radwanska menarik diri daripada kejohanan di Sydney akibat kecederaan, Angelique tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan berikutnya.

Angelique Kerber yang menewaskan pemain Ukraine Elina Svitolina 4-6, 6-0, 6-3 pada pusingan pertama kejohanan Antarabangsa Sydney. – Reuters
Angelique Kerber yang menewaskan pemain Ukraine Elina Svitolina 4-6, 6-0, 6-3 pada pusingan pertama kejohanan Antarabangsa Sydney. – Reuters

Petra dan Agnieszka menarik diri selepas beberapa pemain bintang turut mengalami masalah kecederaan termasuk Serena Williams (lutut), Simona Halep (tumit), Garbine Muguruza (kaki) dan Maria Sharapova (lengan).

“Saya menyertai banyak perlawanan minggu lalu, namun ia juga rancangan saya sebaik kembali ke Australia iaitu menyertai banyak perlawanan dan juga bermain beberapa lagi perlawanan di sini,” kata Angelique.

“Saya tidak tahu sejauh mana saya mampu pergi. Saya sihat. Saya tidak mengalami kecederaan. Saya akan cuba pulih dan lihat bagaimana keadaannya esok (hari ini) namun tubuh saya rasa baik.”