Anggap ular sawa sepanjang 3.7 meter sebagai anak

Anggap ular sawa sepanjang 3.7 meter sebagai anak

CHINA – Sepasang suami isteri warga emas di Haikou, Wilayah Hainan, China, berkongsi kediaman mereka dengan seekor ular sawa seberat 60 kilogram, dan 3.7 meter panjang selama tujuh tahun.

Mereka membesarkannya seolah-olah ular sawa itu anak mereka sendiri dan apa yang menariknya, mereka juga membawanya bersiar-siar di sekitar kejiranan mereka.

Shi Jimin, 68, merupakan seorang pesara, mendapatkan ular sawa itu pada tahun 2009, untuk menyelamatkannya daripada kematian. Seorang peniaga ikan dan ular telah datang ke tempat kerjanya, dan berjaya menjual kesemua bekalannya, kecuali seekor ular sepanjang 30 sentimeter.

Peniaga itu berkata jika tidak ada sesiapa yang berminat, beliau akan membuang atau membunuh sahaja haiwan itu, pada ketika Shi terus bertanyakan kepada peniaga itu berapa harga reptilia tersebut.

Shi berkata peniaga itu memberikannya secara percuma, kerana peniaga itu sendiri tidak mahu menyimpannya. Kemudian Shi membawa ular itu pulang untuk dilihatkan kepada isterinya, dengan tidak mengetahui bahawa ular itu akan membesar sehingga mampu menjadi pemakan ternakan.

Shi Jimin membelai ular sawa yang diberikan nama Shi Nanwang di rumahnya.
Shi Jimin membelai ular sawa yang diberikan nama Shi Nanwang di rumahnya.

Tetapi selepas menyedari bahawa mereka telah memelihara seekor ular sawa, pasangan itu tetap tidak mempunyai sebarang masalah berkongsi kediaman mereka dengan reptilian itu, yang mereka anggap sebagai anak sendiri.

Meskipun para pakar menyatakan bahawa ular itu masih muda dan boleh membesar lagi, Shi dan isterinya tidak merasa bimbang mengenai keselamatan mereka, dan membenarkan ular itu bergerak bebas di dalam rumah pada waktu siang. Ia kerap berehat di atas paha mereka ketika menyaksikan televisyen bersama, atau hanya mencari sudut yang selesa seperti budak baik. Setiap malam pasangan itu memandikannya dan sebelum masuk tidur, mereka membawa ular sawa itu ke bilik tidurnya sendiri.

Shi dan isterinya juga tidak mempertimbangkan untuk mengambil sebarang langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri merek daripada Shi Nanwang, nama yang diberikan kepada ular sawa itu.

Mereka malah bersumpah bahawa ular itu tidak pernah menggigit mereka. Meskipun mereka mempunyai sebuah sangkar besi yang dibuat khas untuk Nanwang, tetapi ia hanya digunakan ketika tempoh hibernasi semasa musim sejuk.

Semasa ditanya mengenai kos penjagaan ular itu, Shi berkata bahawa beliau telah membelanjakan separuh daripada gaji pencennya ke atas ular itu. Setakat ini Nanwang memakan lapan ekor ayam bersaiz sederhana, atau lima ekor ayam bersaiz besar, setiap 20 hingga 30 hari.

Pasangan itu juga kerap membawa ‘anak lelaki’ mereka itu keluar berjalan-jalan di sekitar kejiranan, dan setentunya pada mulanya jiran-jiran mereka begitu takut dengan Nanwang. Namun mereka menyedari bahawa ia sebenarnya mesra dan menurut kata.

Ramai kanak-kanak berhenti untuk memegangnya atau bergambar bersamanya. “Ular sawa itu begitu jinak dan mendengar kata,” kata seorang jiran mereka.

Pasangan warga emas itu mempunyai dua orang anak perempuan, tetapi mereka telah berpindah keluar rumah dan mempunyai keluarga sendiri, jadi mereka tidak akan dapat menjaga Nanwang jika sesuatu terjadi pada Shi dan isterinya.

Shi berkata beliau merancang untuk memberikan ular itu kepada sebuah zoo jika mereka terlalu tua untuk menjaganya.

ARTIKEL YANG SAMA