Anggaran 300 mangsa terlibat dalam kebakaran di Pulau Bum Bum

Anggaran 300 mangsa terlibat dalam kebakaran di Pulau Bum Bum

SEMPORNA, 15 Nov – Dianggarkan 300 mangsa yang membabitkan 115 ketua keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di Kampung Balembang di Pulau Bum Bum, awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bullah berkata bagaimanapun jumlah mangsa itu cuma anggaran dan proses mendaftarkan mangsa sedang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kadar segera.

“Perkara ini juga bertujuan untuk memudahkan bantuan disalurkan segera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat khas jawatankuasa pengurusan bencana akan diadakan petang ini bagi membincangkan perkara berkaitan bantuan serta insiden kebakaran yang membabitkan 60 rumah musnah.

Sebanyak 60 buah rumah papan di Kampung Balembang, Pulau Bum Bum musnah akibat kebakaran yang berlaku sekitar 4 pagi tadi. – Bernama
Sebanyak 60 buah rumah papan di Kampung Balembang, Pulau Bum Bum musnah akibat kebakaran yang berlaku sekitar 4 pagi tadi. – Bernama

Kejadian pada 4 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak sehingga memusnahkan puluhan lagi rumah yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

Namun, insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera.

Insiden kebakaran itu merupakan kes kedua di pulau berkenaan selang empat hari selepas kebakaran di Kampung Hampalan Laut yang memusnahkan 13 rumah papan pada Jumaat lepas. – Bernama