Anggota ABDB peluk Islam

Anggota ABDB peluk Islam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Jan – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) daripada Unit Khidmat Pergigian, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (KBK TDDB) berserta keluarganya telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya hari ini.

Majlis pengislaman 20890 SSjn Rabiah binti Limon dan keluarga berlangsung di rumah abangnya, 10415 SSjn (B) Muhammad Yusri Farid bin Abdullah Limon di Kampung Penanjong, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Majlis petang tadi dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan diteruskan dengan lafaz syahadah dan ikrar pengislaman 20890 SSjn Rabiah berserta suami, Ariffin Awang Sigai yang memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Ariffin bin Abdullah Sigai dan anak-anaknya iaitu Nurul Ain Anak Ariffin yang kini dikenali sebagai Nurul Ariqa Fatina; Nursyazwina kini Nur Saidatul Syazwina; Sharizam kini Muhammad Sharizam dan Sharizan yang memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Rayyan Sharizan Arsyad.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis tersebut.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis tersebut.
Suami kepada 20890 SSjn Rabiah dan keluarga ketika melafazkan syahadah pada majlis tersebut.
Suami kepada 20890 SSjn Rabiah dan keluarga ketika melafazkan syahadah pada majlis tersebut.
Ssjn Rabiah bersama suami dan anak-anaknya.
Ssjn Rabiah bersama suami dan anak-anaknya.

Majlis seterusnya diikuti dengan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih.

Bagi memberkati majlis yang penuh kerahmatan itu, doa selamat telah dibacakan oleh Pegawai Tadbir Jabatan Agama ABDB, Lt Narulismandy bin Haji Samaih.

Majlis pengislaman berkenaan adalah yang pertama pada tahun ini dan merupakan anggota ABDB ke-99 yang memeluk Islam sejak tahun 2006. Ini menunjukkan bahawa cahaya dan syiar agama Islam pada masa ini semakin bersinar dan berkembang luas khususnya dalam kalangan warga ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA