Anggota ABDB terima hidayah

Anggota ABDB terima hidayah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Seorang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini, memulakan kehidupan barunya sebagai orang Islam setelah melafazkan dua kalimah syahadah.

Awang Azharuddin bin Jeffriddin dari Kompeni ‘A’ 1Bn Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah melafazkan ikrar pengakuan pengislamannya di hadapan pegawai pengislaman Pusat Dakwah Islamiah pada majlis yang berlangsung di Surau Berakas Garisson.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, anggota Batalion Pertama ABDB, pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah, para jemputan serta kaum keluarga.

Awang Azharuddin melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan pegawai pengislaman.
Awang Azharuddin melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan pegawai pengislaman.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Awang Azharuddin yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Mohammad Azharuddin bin Jeffriddin.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Ayat Suci Al-Quran, Surah Taha dari ayat 1 sehingga 10 oleh Lkpl Khairul Ariffin bin Rosli dari Kompeni ‘C’ Batalion Pertama.

Selepas upacara sempurna dilaksanakan, majlis diserikan dengan bacaan Dikir Marhaban dan taburan bunga ramai, serta penyampaian cenderahati kepada Mohammad Azharuddin yang disempurnakan oleh tetamu kehormat. Majlis pengislaman ini merupakan yang ke-9 bagi dalam tahun ini dan ke-97 sejak tahun 2006 bagi ABDB yang menunjukkan bahawa cahaya dan syiar agama Islam semakin bersinar dan berkembang luas khususnya dalam kalangan warga ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA