Anggota awam dipukul ketika meronda

Anggota awam dipukul ketika meronda

SANDAKAN, 7 Sept – Dua kakitangan Jabatan Perhutanan Kota Belud cedera selepas dipukul oleh tiga lelaki ketika melakukan rondaan membanteras kegiatan mencuri kayu bantalan atau terubah di kawasan Hutan Simpan berhampiran Kampung Suang Punggur, Kota Belud pada Sabtu lepas.

Penolong Pegawai Perhutanan Rosmin Suhod dan Renjer Hutan Ruslan Ayai cedera ditangan, kaki, paha dan punggung akibat dipukul menggunakan rotan dan kayu oleh tiga lelaki dipercayai dari Kampung Suang Punggur.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) Datuk Sam Manan berkata kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah hari, kedua-dua kakitangannya itu terpaksa melarikan diri ke kawasan hutan untuk bersembunyi sementara menunggu bantuan.

Katanya seorang lagi kakitangan jabatan itu Mohd Nazriee Abdullaid yang menunggu di kereta turut didatangi oleh sekumpulan lelaki menggunakan kereta Perodua Viva berwarna hitam dan motosikal Honda EX5 berwarna coklat bersenjatakan rotan dan parang lalu mengarahkannya meninggalkan kawasan itu serta mengancam untuk membakar kereta dipandunya itu. – Bernama