Anggota beruniform dipenjara 16 bulan

Anggota beruniform dipenjara 16 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161012_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kerana masalah kewangan, seorang anggota beruniform dijatuhi 16 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan mencuri empat telefon pintar iPhone 6S.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Andy Sautheno bin Sianong, 33, yang mengaku bersalah mencuri empat unit iPhone 6S dalam dua kejadian berasingan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AV Audio & Video Mobile, The Mall Gadong pada 23 Ogos 2016, dan di Times Square pada 11 September 2016.

Tertuduh melakukan kesalahan itu dengan berpura-pura untuk membeli telefon tersebut, dan memberi kad BIBD miliknya kepada juruwang. Ketika juruwang cuba menjalankan transaksi pembayaran, tertuduh mengambil peluang dengan memasukkan telefon itu ke dalam begnya.

Sebaik dimaklumkan bahawa kad itu tidak mempunyai wang yang mencukupi, tertuduh kemudian memberitahu dia akan mengeluarkan wang dari ATM sahaja. Tertuduh, bagaimanapun, tidak kembali semula ke kedai tersebut. Tertuduh menjual dua iPhone itu pada harga $600 setiap satu, satu lagi pada harga $530 dan menyimpan satu lagi untuk dirinya, dan hasil jualan digunakan untuk kegunaan peribadi.

Polis hanya menemui semula satu daripada iPhone tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA