Anggota beruniform mengaku mencuri iPhone 6s

Anggota beruniform mengaku mencuri iPhone 6s

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161010_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Seorang anggota pasukan beruniform mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam, kerana mencuri empat telefon pintar iPhone 6S.

Andy Sautheno bin Sianong, 33, didakwa mencuri empat iPhone 6S di AV Audio & Video Mobile dalam dua kejadian berasingan di The Mall, Gadong pada 23 Ogos 2016 dan di Times Square pada 11 September 2016. Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim mengikut Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

“Kamu adalah seorang anggota polis yang sepatutnya melindungi kepentingan orang ramai.

“Kenapa kamu melakukan kesalahan itu,” tanya Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman yang mana tertuduh hanya memberikan alasan ‘masalah kewangan’.Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh melakukan perbuatan yang sama dalam dua kes itu, dengan berpura-pura untuk membeli telefon tersebut, dan memberi kad BIBD miliknya kepada juruwang.

Tertuduh mengambil peluang untuk memasukkan telefon itu ke dalam begnya ketika juruwang cuba menjalankan transaksi di mana juruwang kemudian memaklumkan kepada tertuduh bahawa transaksi tidak dapat dijalankan kerana kad itu tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pembayaran.

Tertuduh kemudian memberitahu juruwang bahawa dia akan mengeluarkan wang dari ATM. Bagaimanapun, dia tidak kembali ke kedai tersebut.

Tertuduh menjual dua telefon iPhone itu pada harga $600 setiap satu, satu lagi pada harga $530 dan menyimpan satu lagi untuk dirinya, dan hasil jualan digunakan untuk kegunaan peribadi.Majistret menetapkan 10 Oktober untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA