Anggota bomba Cawangan Operasi ‘F’ sertai pertandingan di Singapura

Anggota bomba Cawangan Operasi ‘F’ sertai pertandingan di Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Selepas menjuarai Pertandingan Kemahiran Bomba pada 20 Oktober lepas, Cawangan Operasi ‘F’ akan mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Pertandingan Cabaran Anggota Bomba dan Paramedik Antarabangsa Singapura 2015 (SGFPC) bermula hari ini hingga 14 November 2015.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini, anggota bomba yang menyertai pertandingan itu diketuai oleh Awang Saini bin Gapor dan disertai oleh Awang Mohd Fateen Aqilah bin Awang Abd Rahman, Awangku Suhawadi bin Pengiran Matassan dan Awangku Saiful Khairul Zulhelmey bin Pengiran Ludin.

Hadir semasa Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah para pegawai Kanan, para pegawai serta anggota Cawangan dari Operasi ‘F’, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kaum keluarga.

Awang Yahya dan para pegawai Cawangan Operasi ‘F’ bergambar ramai bersama para peserta (tengah) sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Yahya dan para pegawai Cawangan Operasi ‘F’ bergambar ramai bersama para peserta (tengah) sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Selain pertandingan SGFPC, mereka akan menyertai Bengkel Pertukaran Penyelamat Elit Antarabangsa (IERE) dari 9 hingga 11 November 2015 dan Perarakan Pertahanan Awam Singapura dari 12 hingga 14 November 2015.

Ini adalah kali kelapan Jabatan Bomba dan Penyelamat menyertai pertandingan Kemahiran Kebombaan bertaraf dunia ini dan kali ini difahamkan sebanyak 50 negara telahpun dijemput untuk menyertai pertandingan ini.

Matlamat SGFPC 2015 adalah untuk memupuk budaya setia kawan dan kesepaduan, meluaskan jaringan kerja, pertukaran ilmu dan kemahiran antara peserta dan mempamerkan kemahiran pasukan-pasukan Bomba dunia dalam suasana pertandingan dan saingan.

ARTIKEL YANG SAMA