Anggota CPA perlu berfikiran terbuka

Anggota CPA perlu berfikiran terbuka

KOTA KINABALU, 30 April – Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) perlu mempunyai pandangan baharu dan berfikiran lebih terbuka seiring dengan perubahan yang berlaku di dunia masa kini, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata perlu bagi semua negara anggota untuk terus mengekalkan kepercayaan serta memelihara semangat persahabatan untuk mengelakkan perpecahan dalam persatuan itu.

“Marilah kita kembali semula kepada semangat asal CPA. Menjaga kepercayaan dan juga dan tidak menaruh syak-wasangka antara satu sama lain,” kata Pandikar Amin, yang merupakan Presiden CPA pada 2008 ketika berucap menutup Mesyuarat Pertengahan Tahun Jawatankuasa Eksekutif CPA di sini, hari ini.

Turut hadir  Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee selaku Naib Pengerusi CAP dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said.

Sebanyak 35 anggota CPA menghadiri Mesyuarat Pertengahan Tahun Jawatankuasa Eksekutif dan delegasi termasuk anggota Parlimen dan Speaker dari kesemua 28 negara anggota Komanwel seperti Kanada, Pakistan, India, Bangladesh, Singapura  dan negara-negara Afrika.

Pandikar Amin berkata, adalah tidak mustahil CPA akan berpecah kepada dua kumpulan pada masa depan; dengan England, Kanada, Australia dan Kepulauan Caribbean membentuk satu kumpulan manakala Timur Jauh, India dan beberapa negara Afrika membentuk kumpulan lain; jika perasaan curiga masih wujud dalam kalangan anggota

Dalam hubungan ini, katanya adalah perlu bagi CPA, terutamanya Jawatankuasa Eksekutif memain peranan iaitu membincangkan isu-isu berkaitan dalam perspektif baharu sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung Persidangan Parlimen Komanwel ke-61 di Islamabad, Pakistan pada September ini.

Dalam perkembangan lain, Pandikar Amin mengumumkan  Malaysia akan menjadi tuan rumah persidangan Speaker dan Ketua Tempat Mengundi Komanwel ke-23 yang akan diadakan di Sabah dari 9 hingga 14 Jan 2016. –Bernama