Anggota gerakan pemisah maut dalam tahanan

Anggota gerakan pemisah maut dalam tahanan

PATTANI, 4 Dis (Bernama) – Kematian seorang anggota gerakan pemisah yang berada dalam tahanan tentera di selatan Thailand pagi tadi, menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penduduk tempatan.

Abdullayi Dolloh, 41, yang ditahan di bawah Undang-undang Darurat pada 11 November di Pusat Siasatan, Kem Tentera Inkhayuttaborihan, Pattani meninggal dunia pada 5 pagi tadi, setelah 22 hari berada dalam tahanan tentera.

Waris serta anggota keluarga beliau, membuat laporan di Balai Polis Nongchik dan minta pihak berkuasa Thailand menyiasat punca kematian mangsa.

Menurut seorang anggota keluarga, sehari sebelum meninggal dunia, mereka melawat mangsa seperti biasa dan beliau berada dalam keadaan sihat.

Pada 11 pagi tadi, Timbalan Komander Tentera Bahagian Ke-4, Left Jeneral Ruangsak Suwannaka bersama pegawai pentadbiran, polis, doktor, pegawai forensik, pemimpin agama, wakil peguam Muslim dan anggota keluarga, memasuki tempat kejadian untuk melihat sendiri keadaan jenazah mangsa selama tiga jam.

Kehadiran mereka menggambarkan betapa sensitif kes itu, ketika pihak berkuasa Thailand dan kumpulan pemisah sedang membina kepercayaan antara satu sama lain dalam proses damai yang sedang mereka usahakan. Media dan mereka yang tidak terlibat, tidak dibenarkan memasuki kawasan kejadian.

Pengarah Hospital Nongchik, Dr Anuchit Wangthorn berkata berdasarkan siasatan awal tiada kesan kecederaan di kepala, selain tiada darah yang keluar daripada mata dan telinga mangsa. Tiada kesan jerut di leher serta tiada luka dan patah di bahagian tulang rusuk dan apa-apa luar biasa di badan Abdullayi, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA