Anggota masyarakat tingkat maklumat

Anggota masyarakat tingkat maklumat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Program Masyarakat Bermaklumat anjuran Jabatan Penerangan merupakan satu landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan lawatan.

Program kali ini yang diadakan selama dua hari, disertai oleh seramai 30 orang yang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk Kampung Bukit Sawat dengan diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah.

Ia berakhir hari ini dengan majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Program Masyarakat Bermaklumat, Awang Mohammad Hisyam bin Idris, selepas lawatan yang menjadi sebahagian daripada atur cara program berkenaan.

Awang Mohammad ketika ditemui berkata, program anjuran Jabatan Penerangan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi pengetahuan penduduk kampung, di samping berpengetahuan untuk mengembang luaskan perusahaan yang sedia ada.

“Alhamdulillah, taklimat yang diadakan kelmarin sedikit sebanyak mendapat maklumat yang sangat berguna bagi meningkatkan usaha masing-masing dan jangan hanya bergantung kepada pihak-pihak tertentu.”

Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat menerima sijil penghargaan daripada Awang Mohammad Hisyam.
Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat menerima sijil penghargaan daripada Awang Mohammad Hisyam.
Warga Kampung Bukit Sawat melawat salah sebuah galeri di Muzium Teknologi Brunei.
Warga Kampung Bukit Sawat melawat salah sebuah galeri di Muzium Teknologi Brunei.

Antara yang disentuh semasa taklimat kelmarin adalah mengenai isu halal haram, keusahawanan agrimakanan dan keusahawanan ternakan.

Menurut beliau lagi, sesi program hari kedua pula lebih kepada lawatan, termasuk ke Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, di ibu negara dan diikuti ke Muzium Teknologi Brunei.

“Dengan adanya lawatan ini, ahli-ahli MPK dan penduduk Kampung Bukit Sawat yang menyertai program berkenaan telah dapat mengetahui sedikit sebanyak maklumat mengenai sejarah kehidupan penduduk Brunei.”

Beliau menambah, selama dua hari ini, para peserta juga telah banyak memperolehi maklumat dan ilmu pengetahuan melalui taklimat keusahawanan dan sejarah.

Awang Mohammad Hisyam berkata, program ini bertujuan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat diri serta memberikan inspirasi kepada anggota masyarakat.

Ia juga diharap akan dapat menjadi agenda dan platform kerjasama yang unggul bagi membina jambatan perhubungan yang kukuh di antara Jabatan Penerangan dan semua anggota masyarakat serta akan diteruskan pada masa yang akan datang untuk mengeratkan lagi hubungan yang sudah terjalin erat, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA