Anggota MINUSCA tembak mati empat rakan

Anggota MINUSCA tembak mati empat rakan

BANGUI, 9 Ogos (AFP) – Seorang anggota tentera Rwanda yang berkhidmat dengan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Republik Afrika Tengah menembak mati empat anggota tentera Rwanda dan mencederakan lapan yang lain semalam, sebelum ditembak mati, menurut Kementerian Pertahanan Rwanda.

Insiden berkenaan berlaku pada kira-kira pukul 5:45 pagi (0445 GMT) di ibu pejabat batalion Rwanda di ibu negara Bangui.

“Penyiasatan segera dimulakan untuk mencari motif di sebalik insiden penembakan tersebut,” kata jurucakap Brigedier Jeneral Joseph Nzabamwita. “Kami mengesyaki pengganasan, tanpa menolak kemungkinan sakit mental sebagai puncanya.”

Kenyataan itu berkata anggota tentera yang cedera segera dikejarkan ke hospital di Bangui untuk rawatan.

Kementerian pada awalnya berkata lelaki bersenjata membunuh dirinya, tetapi kemudiannya menukar kenyataan berkenaan.

Gambar fail dirakam pada 9 Disember 2014 menunjukkan anggota pengaman PBB dari Rwanda melakukan rondaan di Bangui, Republik Afrika Tengah. – AFP
Gambar fail dirakam pada 9 Disember 2014 menunjukkan anggota pengaman PBB dari Rwanda melakukan rondaan di Bangui, Republik Afrika Tengah. – AFP

“Anggota pasukan Pertahanan Rwanda bertempur dengan tentera yang menyerang, membunuhnya dan menyelamatkan jiwa anggota pengaman RDF yang lain,” kata Nzabamwita dalam kenyataan kedua.

Republik Afrika Tengah terjerumus ke dalam keadaan huru-hara pada Mac 2013 apabila pemberontak Seleka merampas kuasa, mencetuskan tindak balas oleh militia Kristian “anti-balaka” yang mengusir beribu-ribu penganut Islam dari selatan.

“Misi PBB di Republik Afrika Tengah, dikenali sebagai MINUSCA, dikerahkan untuk memantapkan lagi kestabilan di bawah kerajaan sementara.

Rwanda mempunyai 800 anggota pengaman yang dikerahkan ke negara tersebut.

MINUSCA berkata ia sudah membuka bagi penyiasatan ke atas insiden berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA