Anggota MINUSMA dikerahkan ke utara Mali

Anggota MINUSMA dikerahkan ke utara Mali

BAMAKO, 19 Ogos – Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mali semalam mengerahkan tentera di sekitar kubu kuat pemisah di utara, dalam usaha mencegah merebaknya pertempuran di antara pemberontak dan militia prokerajaan yang mengancam perjanjian damai.

Kumpulan pemisah terbabit, diketuai oleh suku kaum Tuareg, dan militia prokerajaan Platform menandatangani perjanjian damai yang ditaja PBB pada Jun. Matlamatnya adalah untuk menenangkan utara dan membolehkan tentera mali memberi fokus ke atas menangani militan Islam di barat negara Afrika tersebut.

Kedua-dua belah pihak saling mempersalahkan kerana pertempuran berkenaan, yang bermula pada Sabtu lepas. Pada Isnin, para pejuang Platform merampas bandar Anefis daripada pemisah Pergerakan Penyelaras Azawad (CMA), meningkatkan prospek mereka mampu terus mara ke bandar Kidal, kubu kuat utama kumpulan tersebut.

“Tindakan ini adalah suatu pelanggaran gencatan senjata dan perjanjian damai,” kata misi PBB, MINUSMA, dalam satu kenyataan.

MINUSMA menggesa kedua-dua belah pihak supaya segera kembali ke kedudukan yang mereka duduki pada 15 Ogos, dan berkata ia meletakkan zon keselamatan dilanjutkan 20 kilometer sekitar Kidal untuk mencegah merebaknya keganasan dan untuk melindungi orang awam.

Terdapat lebih 9,000 pengaman PBB di Mali, 90 peratus daripada mereka di utara.

Bagaimanapun tentera PBB tidak menyatakan berapa ramai anggota tentera mereka dikerahkan ke sekitar Kidal. – Reuters