Anggota parlimen ASEAN perlu aktif

Anggota parlimen ASEAN perlu aktif

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para anggota Parlimen ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengetengahkan manfaat yang boleh dinikmati rakyat daripada inisiatif ASEAN yang lebih inklusif dan berpaksikan rakyat di negara masing-masing.

Perdana Menteri berkata mereka perlu memanfaatkan hubungan secara langsung dengan pengundi mereka dan juga di Parlimen untuk menyampaikan apa makna ASEAN ke arah pembentukan sebuah masyarakat serantau yang padu dari segi politik, mantap di segi ekonomi dan bertanggungjawab dari segi sosial.

Najib berkata 10 negara anggota ASEAN telah menggubal beratus-ratus perjanjian, triti, kenyataan dan perisytiharan.

“Tetapi instrumen ini akan agak terhad kesannya jika orang ramai langsung tidak mendapat manfaat daripadanya, atau tidak mengetahui tentang kelebihan ketara yang datang daripada kita dengan menjadi ASEAN ,” katanya dalam ucaptama pada Perhimpunan Agung kali ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini hari ini.

Perhimpunan yang bermula 6 hingga 12 Sept itu membawa tema ‘Membabitkan Komuniti ASEAN yang Berpaksikan Rakyat, Berorientasikan Rakyat Ke arah Keterangkuman’. Sambil membawa para hadirin menyelami tema perhimpunan itu, Najib berkata penyertaan rakyat dalam penubuhan Komuniti ASEAN yang bersatu menjelang akhir tahun 2015 adalah penting bagi ASEAN untuk menjadi sesuatu yang boleh dihayati, menjadi sebahagian dan yang dimiliki mereka.

“Faedah Komuniti ASEAN adalah amat nyata. Pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, buruh mahir dan modal yang akan mengikat negara-negara di rantau ini menjadi lebih dekat,” katanya.

Mengharmonikan dan memperkemaskan standard produk akan meningkatkan daya saing manakala pengurangan tarif yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 2007 telah mengurangkan harga dengan banyak, kata Perdana Menteri.

“Integrasi ASEAN hanya akan benar-benar berjaya apabila rakyat daripada 10 negara anggota kita benar-benar terlibat sepenuhnya dalam proses dan melabur dalam penghasilannya,” katanya.

Najib berkata sebahagian daripada usaha menjadikan ASEAN yang berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan inklusif adalah untuk memastikan bahawa perlindungan hak-hak asasi manusia dan penambahbaikan dalam kualiti hidup diperluaskan kepada setiap orang. “Di seluruh ASEAN kita perlu mendekati golongan yang mudah terjejas dan terpinggir, menggalakkan kesaksamaan gender dan memastikan keadilan untuk semua rakyat kita,” katanya sambil menambah bahawa satu daripada hak-hak tersebut adalah hak untuk udara yang bersih. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA