Anggota pengasas AIIB tandatangani kerangka perundangan

Anggota pengasas AIIB tandatangani kerangka perundangan

BEIJING, 29 Jun (Bernama) – Kira-kira 50 anggota yang bakal menjadi pengasas kepada penubuhan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) yang diterajui China telah pun menandatangani Perjanjian Perkara untuk entiti tersebut di Dewan Besar Rakyat di sini, hari ini.

AIIB yang diilhamkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada Oktober lepas, mungkin akan terdiri daripada 57 anggota pengasas dari lima benua, termasuk Malaysia.

Malaysia, bagaimanapun merupakan di antara tujuh negara yang tidak menandatangani Perjanjian Perkara itu hari ini memandangkan prosedur dalamannya masih belum selesai. Mereka dijangka berbuat demikian menjelang akhir tahun ini.

Bank dengan modal AS$100 bilion yang berpangkalan di Beijing itu dijangka dibuka pada tahun ini.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu.

Presiden China Xi Jinping (depan tengah) bergambar ramai bersama delegasi. – Reuters
Presiden China Xi Jinping (depan tengah) bergambar ramai bersama delegasi. – Reuters

Bercakap kepada wakil-wakil daripada 57 anggota pengasas bank itu, Xi berkata majlis hari ini membuktikan komitmen mereka, yang juga mencerminkan semangat perpaduan, kerjasama dan keterangkuman.

Beliau memberitahu AIIB yang dicadangkan oleh China bertujuan merangsang saling kendali infrastruktur dan pembangunan umum di Asia, di mana inisiatif ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Agensi Berita Xinhua melaporkan Perjanjian Perkara itu menggariskan perkongsian bahagian kewangan oleh setiap anggota, dasar, perniagaan, sistem operasi dan struktur tadbir urus.

AIIB ini direka untuk membiayai pembinaan infrastruktur di Asia.

ARTIKEL YANG SAMA