Anggota penjara tamatkan kayuhan solo ke Sarawak, Brunei dan Sabah

Anggota penjara tamatkan kayuhan solo ke Sarawak, Brunei dan Sabah

TAIPING, 27 Mac (Bernama) – Seorang anggota Penjara Taiping melakar sejarah apabila berjaya menamatkan kayuhan berbasikal secara solo sejauh 1,350 kilometer ke Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah, Khamis lalu.

Koperal Zairul Azmin Bohari, 36, memulakan misi lebih tiga minggu itu pada 1 Mac lepas di Kuching, kemudian ke Brunei Darussalam sebelum berakhir di Kudat, Sabah.

Sepanjang kayuhan itu, Zairul Azmin turut melawat 10 penjara antaranya Kompleks Penjara Kota Kinabalu, Sabah dan Penjara Jerudong, Brunei Darussalam.

Ketika ditemui di sini baru-baru ini, Zairul Azmin berkata kayuhan solo itu bertujuan merapatkan hubungan anggota penjara di kawasan yang dilawati selain menimba pengalaman.

Hutan Simpan Kelawat di Sabah, merupakan antara destinasi singgahan Anggota Penjara Taiping Koperal Zairul Azmin Bohari, 36, dalam misi berbasikal secara solo sejauh 1,350 kilometer dari Kuching, Sarawak merentasi Brunei Darussalam dan berakhir di Kudat. –Bernama

“Kayuhan di Sabah dan Sarawak agak sukar kerana banyak jalan berbukit selain kenderaan pun banyak yang memerlukan saya berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Memandangkan cuaca panas, saya banyak minum air bagi menjaga kesihatan agar matlamat kayuhan solo ini tercapai,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan, Zairul Azmin berkata beliau membuat latihan kayuhan antara 30 dan 40 kilometer setiap hari di kawasan berbukit selain berjoging dan bersenam di gimnasium.

Misi itu adalah yang kedua buat Zairul Azmin telah berkayuh secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan melawat 22 penjara dan berhasrat untuk memulakan kayuhan solo ke Thailand atau Singapura tidak lama lagi.

ARTIKEL YANG SAMA