Anggota polis miliki RM10,000 dipercayai rasuah

Anggota polis miliki RM10,000 dipercayai rasuah

SIBU, 23 Feb (Bernama) – Seorang daripada sembilan anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak dalam Ops Taring baru-baru ini, membawa hampir RM10,000 di dalam beg kantungnya.

SPRM percaya wang itu adalah hasil daripada kegiatan rasuah oleh anggota berkenaan dan menyitanya.

“Anggota-anggota polis terbabit ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada pekerja-pekerja warga Indonesia.

“Mereka dipercayai menyasarkan pekerja-pekerja Indonesia yang disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan dalam perjalanan pulang ke negara mereka menggunakan bas ekspres melalui Pos Sempadan Tebedu,” kata SPRM Sarawak dalam kenyataan di sini.