Anggota TDDB terima hidayah

Anggota TDDB terima hidayah

BELAIT, 29 Julai – Seorang anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya pada majlis yang berlangsung di rumah ibu bapanya di Kampung Sungai Liang, di sini, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis pengislaman Soldadu Azrin bin Azman itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Sungai Liang, para pegawai kanan ABDB dan pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah Daerah Belait serta keluarga.

Lafaz syahadah dan ikrar pengislaman Soldadu Azrin dilangsungkan oleh pegawai pengislaman dari Pusat Dakwah Islamiah. Laungan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta penyampaian cenderahati kemudiannya disempurnakan oleh Pemerintah ABDB dan para jemputan yang hadir.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, majlis pengislaman ini merupakan kali ke-4 bagi tahun ini dan ke-102 sejak tahun 2006.

Majlis pengislaman Soldadu Azrin yang turut dihadiri oleh Pemerintah ABDB selaku tetamu kehormat.
Majlis pengislaman Soldadu Azrin yang turut dihadiri oleh Pemerintah ABDB selaku tetamu kehormat.