Angin kencang berterusan hingga Isnin

Angin kencang berterusan hingga Isnin

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Angin kencang barat daya yang dijangka berlaku di perairan Labuan serta di Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah pada Khamis ini dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata angin kencang itu dijangka melanda dengan kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Menurut kenyataan itu, keadaan sama dijangka berlaku di perairan Sulu dan keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi serta sukan laut.

Sementara itu, ribut petir yang berlaku di perairan Perak, Selangor, Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman di Sabah serta Bintulu dan Miri di Sarawak dijangka berterusan sehingga petang ini yang menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dengan ombak setinggi 3.5 meter.

Angin kencang barat daya dengan kelajuan 40-50kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5m juga dijangka berlaku dalam tempoh sama di Palawan, Reef North, Condore, Layang-Layang, dan Labuan.

Keadaan yang sama akan berlaku di Phuket selama empat hari bermula Jumaat.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai. – Bernama