Angin kencang jejas Climbaton Gunung Kinabalu

Angin kencang jejas Climbaton Gunung Kinabalu

KUNDASANG, 16 Okt – Jarak kira-kira 6 kilometer untuk naik dan turun Gunung Kinabalu dibatalkan semasa kejohanan Climbaton Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-29 disebabkan angin kencang.

Pengarah perlumbaan Zachary Mobijohn berkata sebagai langkah keselamatan, peserta kejohanan hanya perlu sampai di Pondok Laban Rata di gunung setinggi 4,095 meter itu sebelum turun semula.

“Jabatan Meteorologi melaporkan berlaku ribut taufan walaupun Sabah hanya mengalami ‘ekor’ taufan, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil.

“Sebaik perlumbaan bermula 7 pagi, keadaan berangin dengan kelajuan 30km sejam dan jarak penglihatan di puncak adalah kira-kira 10 meter kerana awan tebal,” katanya ketika ditemui pemberita di garisan penamat kejohanan itu, di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum peserta pertama tiba di Pondok Laban Rata, renjer gunung melaporkan angin kencang dan jarak penglihatan yang rendah di puncak yang mendorong penganjur perlumbaan mengisytiharkan pondok itu sebagai titik tertinggi untuk peserta sampai sebelum turun semula.

Sebahagian daripada peserta yang menyertai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu kelmarin. – Bernama
Sebahagian daripada peserta yang menyertai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu kelmarin. – Bernama

Beliau berkata trek untuk perlumbaan tahun ini adalah 26km tetapi disebabkan oleh cuaca buruk, peserta hanya perlu melengkapkan 20km.

Malaysia memenangi kategori Lelaki Elit pada kejohanan tahun ini menerusi Safrey Sumping, 33, yang mencatat masa 2: 21.33s manakala Sandi Menchi Catlona Abahan, 26, daripada Filipina memenangi kategori Wanita Elit dengan catatan masa 2: 58.48s.

Siri kejohanan ke-29 melibatkan 121 peserta itu, diadakan tahun ini selepas dibatalkan tahun lalu sebagai langkah keselamatan susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada 5 Jun. – Bernama