Angka kematian akibat Meranti bertambah

Angka kematian akibat Meranti bertambah

BEIJING, 18 Sept – Angka kematian akibat taufan paling kuat melanda China dalam masa hampir 70 tahun sudah mencecah 28 orang, menurut agensi berita negara hari ini, beberapa hari selepas taufan itu menghentam pesisir pantai negara itu.

Hujan lebat dan angin kencang sehingga 170kmsj melanda timur wilayah Fujian lewat minggu lalu, membanjiri jalan dan mengakibatkan pokok-pokok, papan iklan dan tiang elektrik tumbang.

Agensi berita rasmi Xinhua, menerangkan taufan itu sebagai taufan terkuat tahun ini dan terburuk melanda kawasan itu semenjak rekod mula dicatatkan dalam 1949.

Lima belas orang lagi masih hilang, menurut Xinhua, menambah bahawa pengangkutan bandar Xiamen dan bekalan kuasa masih lagi terganggu.

Lebih daripada 10,000 orang pekerja membersihkan kekotoran akibat taufan yang menumbangkan lebih daripada 3,000 pokok dan memusnahkan jalan-jalan dan tembok-tembok, menurutnya.

Banjir turut memusnahkan jambatan berusia 871 tahun yang dilindungi sebagai tapak warisan di mukim Yongchun, lapor Xinhua Jumaat lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA