Angka kematian cecah 15

Angka kematian cecah 15

SRINAGAR, India, 10 Julai – Angka kematian daripada kacau-bilau di kawasan pentadbiran India, Kashmir meningkat kepada 15 orang hari ini, kata pegawai, di sebalik pelaksanaan perintah berkurung lebih ketat ke atas wilayah bergolak itu dalam usaha mencegah demonstrasi baru.

Seorang pembantah terbunuh hari ini apabila pasukan tentera kerajaan melepaskan tembakan ke arah penduduk marah yang mengingkari larangan di kawasan selatan Pulwama, dan enam lagi mati dalam beberapa buah hospital semalaman selepas mengalami kecederaan akibat tembakan pada Sabtu, menurut pegawai polis yang enggan dikenali.

Pihak berkuasa melanjutkan perintah berkurung ke seluruh lembah Kashmir, termasuk bandar utama Srinagar pada hari kedua berturut-turut ekoran pertempuran meluas atas pembunuhan seorang komando pemberontak popular oleh pasukan kerajaan.

Pertempuran berterusan hari ini meskipun rangkaian telefon mudah alih dan internet digantung dua hari di kebanyakan kawasan.

Penduduk Kashmir mengibarkan bendera semasa perarakan pengebumian Burhan Wani, ketua operasi kumpulan pemberontak terbesar Kashmir, India, Hizbul Mujahideen, di Tral, kira-kira 39km dari selatan Srinagar. - AP
Penduduk Kashmir mengibarkan bendera semasa perarakan pengebumian Burhan Wani, ketua operasi kumpulan pemberontak terbesar Kashmir, India, Hizbul Mujahideen, di Tral, kira-kira 39km dari selatan Srinagar. – AP

Burhan Wani, seorang komando berusia 22 tahun kumpulan pemberontak terbesar kawasan itu, Hizbul Mujahideen (HM), terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata dengan pasukan kerajaan pada malam Jumaat.

Kematiannya mencetuskan bantahan dan pertempuran antara pasukan kerajaan dan penduduk yang marah atas pembunuhan itu di seluruh wilayah bertikai yang menyaksikan lebih daripada 200 orang cedera, kebanyakannya akibat tembakan senjata api.

Mereka yang cedera termasuklah 96 orang polis, menurut kenyataan polis semalam.

Sekurang-kurangnya tiga buah balai polis dibakar oleh pembantah dan tiga orang pegawai lagi masih hilang, menurut kenyataan itu lagi. – AFP