Angka kematian ribut petir asma cecah 8 orang

Angka kematian ribut petir asma cecah 8 orang

MELBOURNE, Australia, 29 Nov – Lebih daripada seminggu selepas satu keadaan luar biasa dikenali sebagai ribut petir asma melanda bandar kedua terbesar Australia mengakibatkan angka kematian meningkat kepada lapan dengan seorang lagi masih dalam keadaan kritikal hanya menggunakan alat sokongan nyawa, kata pegawai hari ini.

Dua mangsa terbaru meninggal dunia di unit rawatan rapi hospital pada malam Isnin dan pagi ini akibat komplikasi perubatan akibat ribut petir yang melanda Melbourne pada 21 November lalu, menurut satu kenyataan Jabatan Kesihatan.

Seorang lagi pesakit masih dalam unit rawatan rapi. Sementara enam lagi dimasukkan ke hospital bagi keadaan kurang serius daripada segi pernafasan dan keadaan berkaitan.

Ribut petir minggu lalu menyebabkan bijirin debunga rumput rai yang disirami hujan meletus dan bertebaran ke seluruh bandar, dengan partikel debunga kecilnya memasuki ke dalam paru-paru.

Sekitar satu pertiga pesakit yang mengalami serangan asma dilaporkan tidak pernah mengalami asma sebelumnya.

Ribut petir itu membebani perkhidmatan kecemasan dan hospital di bandar 4.5 juta penduduk itu, dengan 8,500 menerima rawatan hospital. – AP

ARTIKEL YANG SAMA