Angka kematian serangan Patankot meningkat

Angka kematian serangan Patankot meningkat

NEW DELHI, 3 Jan (Bernama) – Angka kematian dalam serangan ke atas Pangkalan Udara Patankot dilaporkan meningkat kepada tujuh dengan anggota keselamatan masih meneruskan operasi pembersihan di pangkalan itu, terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Pakistan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa India mengenai angka kematian terkini. Tiga anggota dilaporkan terbunuh dalam serangan pada 3.30 pagi semalam dan tiga orang lagi cedera, di sebuah hospital tentera hari ini.

Seorang wartawan CNN-IBN melaporkan dari pangkalan udara Patankot bahawa seorang pegawai tentera terkorban hari ini apabila terpijak jerangkap samar semasa menjalankan operasi pembersihan.

Wartawan itu juga memberitahu, serangan berlaku awal tengah hari dan para pegawai perisikan tentera dipetik sebagai berkata sekurang-kurangnya dua lagi anggota militan bersembunyi di pangkalan itu yang menempatkan pesawat pejuang dan helikopter tempur.

Dalam drama berbalas-balas tembakan sengit, seorang komando dan dua orang lagi kakitangan IAF terbunuh bersama empat penyerang. Sekurang-kurangnya enam anggota keselamatan juga tercedera.

Pegawai polis India dan ahli Skuad berjalan di sepanjang landasan kereta api di sebuah stesen di Jammu pada 3 Januari 2016, selepas langkah keselamatan telah dipertingkatkan ke atas kereta api di utara India. - AFP
Pegawai polis India dan ahli Skuad berjalan di sepanjang landasan kereta api di sebuah stesen di Jammu pada 3 Januari 2016, selepas langkah keselamatan telah dipertingkatkan ke atas kereta api di utara India. – AFP

Sementara sumber pertahanan peringkat tertinggi meletakkan bilangan pengganas yang terbunuh pada empat orang, Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh menyatakan melalui Twitter “Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan bersenjata kami dan pasukan keselamatan lain kerana berjaya menumpaskan kesemua lima pengganas dalam Operasi Pathankot’. Kemudian pernyataan di Twitter itu dipadamkan.

Semalam, pegawai keselamatan dan polis Punjab berkata empat anggota militan maut apabila empat hingga lima lelaki yang lengkap bersenjata menggempur pangkalan udara itu kira-kira 3.30 pagi waktu tempatan.

Para penganalisis pertahanan menyalahkan kelemahan penyelarasan dalam kalangan pelbagai pasukan keselamatan sebagai punca operasi pembersihan yang dilancarkan sudah melewati lebih 24 jam. Ketiadaan kenyataan rasmi mengenai insiden itu juga menimbulkan banyak spekulasi mengenai keselamatan pangkalan tentera India yang terletak berhampiran sempadan.

Berikutan serangan itu, media dan ahli politik menyalahkan tentera Pakistan kerana menyokong pengganas dengan percubaan untuk menggagalkan usaha oleh Perdana Menteri India Narindra Modi untuk memulihkan hubungan dengan negara jiran itu.

Dalam perkembangan berkaitan, amaran keselamatan dikeluarkan oleh pesuruhjaya polis New Delhi hari ini berikutan laporan bahawa beberapa anggota militan sudah menyusup masuk ke ibu negara menjelang sambutan Hari Republik India pada 26 Januari.

Pagi tadi, perkhidmatan kereta api dari ibu negara ke beberapa bandar raya utama tergendala selama beberapa jam selepas polis menerima surat bahawa anggota militan telah memasang bahan letupan dalam sebuah kereta api ekspres.